Ancaman Facebook

Assalamualaikum wbt.

Sudah lama saya biarkan blog ini tanpa tulisan baru. Memang disengajakan, untuk beri laluan kepada urusan yang lebih penting. Tapi hari ini ada sesuatu yang mengganggu fikiran saya. Yang memaksa saya untuk meninggalkan sedikit pesan kepada tuan-tuan sekalian.

Ancaman Facebook

Semakin hari semakin banyak urusan kita bergantung dengan Facebook. Jika sebelum ini Facebook hanya digunakan untuk mencari kawan lama, kini ia menjadi alternatif kepada medan perbincangan menggantikan medan seperti e-mail group dan forum board. Bahkan untuk sesetengah situasi, adalah lebih mudah untuk menghubungi seseorang menggunakan Facebook Message berbanding SMS, e-mel dan selainnya.

Satu asas yang penting dalam menggunakan teknologi yang patut kita semua pegang adalah, kita yang sepatutnya mengawal teknologi tersebut, bukan sebaliknya.

Sesetengah orang begitu ghairah dengan respon yang mereka terima dari pengguna-pengguna Facebook yang lain sehinggakan terlupa bahawa di sana terdapat ancaman-ancaman keselamatan yang sedang menunggu mereka.

Saya kongsikan beberapa ancaman yang ada di Facebook:

1. Ancaman dari pengguna

Semua pengguna Facebook terdedah kepada ancaman dari pengguna lain. Boleh jadi dalam bentuk ancaman keselamatan diri, harta dan boleh jadi juga ancaman-ancaman yang menguji iman yang saya tidak fikir ia lebih rendah nilainya berbanding diri dan harta.

Untuk itu, tuan perlu mengawal maklumat yang tuan kongsikan. Saya tidaklah menyarankan tuan supaya menggunakan nama samaran dan gambar profil palsu, kerana ia bertentangan dengan konsep Facebook itu sendiri, iaitu katalog manusia. Cukup sekadar tuan menggunakan nama yang dikenali oleh rakan-rakan tuan. Soal penggunaan gambar profil, saya berpegang dengan konfigurasi yang berbeza antara pengguna lelaki dan perempuan. Isu ini akan dibincangkan pada ketika yang lain jika perlu.

Maklumat seperti nombor telefon dan alamat rumah adalah maklumat yang sangat berharga. Simpan elok-elok. Boleh jadi pengguna lain tidak berminat untuk menghubungi tuan, tapi mereka mungkin berminat dengan anak-anak tuan.

2. Ancaman dari Facebook sendiri

Bagi yang mengikuti perkembangan berita teknologi pasti tahu bahawa Facebook bukanlah satu syarikat yang boleh dipercayai 100% dari sudut menguruskan maklumat-maklumat peribadi pengguna. Bukan sekali mereka mengubah settings akaun pengguna mereka tanpa notis. Bayangkan jika gambar-gambar peribadi yang hanya tuan khususkan untuk keluarga tuan ditambah dengan komen yang lucu, tiba-tiba boleh dilihat oleh orang ramai. Bahkan mereka pernah meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pengguna atas sebarang kebocoran maklumat, sedangkan mereka sebenarnya mampu untuk mengawal keselamatan maklumat tersebut jika mereka mahu.

Pengajaran dari sejarah ini, adalah lebih selamat jika tuan hadkan maklumat seperti gambar-gambar yang tuan ingin kongsikan di Facebook. Walaupun tuan hanya ingin berkongsi dengan keluarga. Bahkan lebih selamat jika tuan berkongsi melalui e-mel.

3. Ancaman dari hackers

Mungkin tidak semua yang terlibat dengan isu ini. Melainkan jika tuan di kalangan orang yang terkenal, berpengaruh, kontroversi atau berkepentingan, maka tuan sangat terdedah kepada ancaman ini. Atau mungkin juga tuan menjadi mangsa hackers yang nakal, yang memilih mangsa secara rawak.

Jika tuan tidak menyimpan apa-apa rahsia penting dalam album dan Facebook Messege tuan, maka tuan tidak perlu terlalu takut. Cuma boleh jadi mereka akan gunakanakaun tuan untuk tujuan yang tidak baik dan mencemarkan nama baik tuan.

Untuk mengelakkan akaun Facebook tuan terlalu mudah untuk di hack, tuan perlu mengubah beberapa settings dan mungkin juga tuan perlu menggunakan password yang lebih rumit. Juga elakkan dari tekan link yang tidak perlu, lebih-lebih lagi yang mencurigakan.

Google+

Sesetengah orang yang tech-savvy akan mencadangkan tuan untuk berpindah ke laman sosial yang baru iaitu Google+. Buat masa ini, pengguna Malaysia belum lagi membanjiri laman ini. Maka, berpindah sekarang agak kurang praktikal jika motif tuan menyertai laman sosial adalah untuk berinteraksi dengan rakan-rakan tuan dengan seramai yang mungkin.

Dalam masa yang sama, syarikat Google sendiri tidaklah benar-benar bersih dalam pengendalian maklumat pengguna. Sebelum ini timbul aduan bahawa Google mengimbas setiap e-mel yang masuk ke akaun Gmail dengan alasan untuk mencari kata kunci untuk iklan. Ada juga aduan berkenaan kerjasama Google dengan ejen risikan antarabangsa.

Asas

Jadi, asas kepada panduan keselamatan di Internet adalah kawalan diri. Jika tuan dapat mengawal maklumat yang tuan upload, maka tuan tidak perlu terlalu takut. Kata-kata popular yang berlegar di ruang maya adalah, "Once you upload something to the Internet, it stays forever." Jika tuan berhati-hati -- tidak kira tuan menggunakan laman sosial yang mana -- tuan masih selamat.

Satu perkara yang penting untuk diingatkan di sini, oleh kerana sistem Internet terutamanya laman sosial ini turut melibatkan keluarga dan rakan-rakan terdekat, maka boleh jadi maklumat tuan dibocorkan oleh mereka tanpa sedar. Mungkin kerana mereka tidak memahami kepentingan menjaga maklumat peribadi sebagaimana yang tuan faham.

Untuk itu, kita perlu saling mengingatkan antara satu sama lain berkenaan isu ini. Saya sendiri tidak bebas dari ancaman ini dan selalu berhati-hati ketika menggunakan Internet, terutamanya sebelum klik pada mana-mana link. Sampaikan pesan ini kepada keluarga dan rakan-rakan tuan.

Apa yang saya kongsikan di sini cumalah sebahagian tips yang dapat saya cetuskan sekarang. Ada banyak lagi tips lain di luar sana yang lebih baik yang tuan boleh manfaatkan. Atau mungkin tuan boleh kongsikan tips tuan di ruang komen.

Sekian, terima kasih.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman