Meter kegembiraan

Be HappyImage via Wikipedia

Beberapa bulan ini saya mengalami turun naik emosi yang agak ketara.

Ia tersembunyi bagi sesetengah pihak kerana saya menzahirkannya hanya pada sesetengah pihak. Maaf dan terima kasih. Dua ungkapan yang tepat tetapi masih belum dapat melunaskan apa yang terpendam di dalam dada.

Apa yang saya perhatikan, ada beberapa perkara yang boleh buat kita gembira sepanjang hari. Beberapa perkara yang lain bertindak sebaliknya.

Membuatkan saya membayangkan bahawa pada diri saya ada semacam satu meter kegembiraaan. Ada perkara yang membawa jarum meter ke arah penuh, ada perkara yang membawa jarum meter ke arah kosong.

Kadang-kadang, dengan hanya satu mimpi yang indah, kita boleh berasa gembira sepanjang hari. Bangun sebelum Subuh, turun ke kuliah awal dengan bibir terukir senyuman, hampir semua orang ditegur dan boleh dijadikan kawan.

Pada hari yang lain pula, terasa seakan-akan seluruh alam memusuhi kita. Buat itu tak kena, buat ini tak kena. Tiba-tiba semua ini berubah bila kita mendapat sepotong ayat dari orang yang kita hargai kehadirannya dalam hidup kita. Hari kita kembali terang. Hari kita kembali tenang.

Hanya dengan sepotong ayat.

Seakan-akan meter kegembiraan itu sesuatu yang visual.

Bila saya rasakan hari itu hari yang muram, saya akan lakukan beberapa perkara yang boleh menggembirakan saya. Kerana tak ramai yang akan suka saya jika saya tak gembira. Betul-betul tak suka. Serius!

Bagaimana pula kalau saya dapat mimpi indah, dan dianugerahkan dengan pagi yang menakjubkan? Apa yang perlu saya buat?

Kosongkan meter? Itu kerja gila.

Saya perlu beri keseimbangan. Pastikan saya akhiri hari saya juga dengan kegembiraan.

Penuhkan meter hingga takat maksimum? Itu juga kerja gila.

Kerana kita biasanya akan lupa pada benda-benda kecil yang penting bila kita terlalu gembira. Tanpa sengaja kita akan melukakan hati orang lain tanpa kita memaksudkan apa-apa. Atau melanggar mana-mana batas tanpa sengaja.

Sebab itu, bila terlalu gembira saya akan mula beringat.
Enhanced by Zemanta

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman