Bersemadi dengan aman


Bersedia untuk disolatkan, originally uploaded by rdhanz.

Hatta sakit. Itu yang saya dengar dari kawan-kawan. Malam itu saya agak penat. Saya bercadang untuk menziarahnya esok, sebelum berangkat ke pameran buku. Demikian rencananya.

Jam 10.30 malam, F memberitahu dia ingin ke Rumah Terengganu. Hatta sesak nafas katanya. Saya mengiyakan saja kerana ketika itu sudah berkelubung di balik selimut yang tebal.

Jam 12.15 tengah malam, F telefon saya dengan nada cemas. Saya minta dia ulang-ulang apa yang dituturkan beberapa kali. Apa yang dapat saya tangkap ialah, "Sesak nafas, cari kereta." Dengan terpinga-pinga saya bergerak menuju Rumah Terengganu.

Kawan-kawan sudah ramai di perkarangan. Katanya, mereka telah pergi ke hospital dengan teksi. Terngiang-ngiang permintaan F untuk mencari kereta. Malam itu, K baru saja pulang dari Rafah dan perlu ke lapangan terbang jam 11.00 malam. Pasti dia penat. Tapi, saya tiada pilihan lain. Alhamdulillah, dia sanggup untuk membantu meskipun kepenatan.

Selepas beberapa minit kereta pertama bertolak ke hospital, K tiba dan kami penuhkan kereta. Enam orang kesemuanya. Jika diikutkan peraturan memandu di sini, tempat duduk belakang hanya boleh diisi dengan tiga orang dewasa. Ini empat.

Kami tiba di Mustasyfa Jami'i, Damardasy sekitar jam 1.30 pagi. Waktu melawat telah tamat, maka hanya sebahagian dari kami yang dibenarkan masuk. K tidur dalam kereta. Penat katanya.

Kami semua dibenarkan masuk apabila mendapat tahu bahawa Hatta sudah meninggal dunia. Terkejut. Kerana kami memang tidak menyangka hal ini akan berlaku. Kami masuk ke bilik pesakit hanya untuk melihat jasadnya yang terselimut. Semua bermata merah dan bergenangan air mata. Wajahpun memerah. Kini tumpuan saya adalah abangnya yang merupakan rakan sekelas semasa di SMAASZA dahulu. Saya tidak ingin memburukkan keadaan dan tidak cuba untuk memandai.

Sekitar jam 2.30 pagi rombongan Badan Pengurus PMRAM tiba. Senior yang lain cuba untuk menyelesaikan urusan jenazah. Si abang cuba untuk menghubungi keluarga di Malaysia. Saya hanya memerhati.

Akhirnya jenazah dibawa masuk ke bilik mayat dengan ambulan. Di sana kami bertemu dengan Prof. Jamil, Pengarah JPMK dengan isteri. Jam 3.00 pagi, saya tiba di rumah dengan terpinga-pinga dan terkejut. Ia bagaikan mimpi ngeri atau hanya lakonan. Namun, hakikatnya ia benar-benar terjadi.

Esok paginya (24 Januari 2009), berita ini heboh di kalangan pelajar-pelajar lain. Rakan-rakan yang terbabit mempersiapkan urusan rasmi untuk menghantar jenazah ke Malaysia. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dengan usaha Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu, PMRAM, Jabatan Penuntut-penuntut Malaysia di Kaherah, Kedutaan Malaysia di Kaherah, Yayasan Terengganu dan kerajaan negeri Terengganu.

Pagi tadi (25 Januari 2009), sekitar jam 11.00 pagi, jenazah Hatta selesai dimandi, dikafan, diawet (untuk urusan penghantaran jarak jauh) dan disolatkan. Hampir penuh gelanggang futsal dengan pelajar lelaki dan perempuan yang hadir untuk sama-sama menunaikan solat jenazah yang diimami Ustaz Alias, Mufti Negeri Terengganu yang kebetulan berkursus di sini.

Saya dan kawan-kawan sempat mengekori rombongan yang menghantar jenazah ke lapangan terbang tetapi setibanya ke bahagian penghantaran kargo, kami tidak dibenarkan masuk.

Malam ini, selepas Isya' akan diadakan majlis tahlil di Rumah Terengganu.

Berikut adalah tulisan teman-teman lain untuk mengabadikan peristiwa ini mengikut sudut pandang masing-masing:

1. Toqki Zone: Bekalan apakah yang mampu kubawa kelak?

2. Syukri Nazar: Innalillah...

3. Sapuang: Untukmu Hatta

4. Syeikhul Islami: Selamat tinggal. Semoga dicucuri rahmat ke atasnya.

5. Al-Aman: Urusan jenazah Allahyarham Ustaz Mohd Hatta bin Mohd Hanafi

6. Cucu Dagang: Belasungkawa

7. Aniss My Love Ina: Hilangnya sebutir permata

8. Dr. Zaty: 2nd exam

Al-Fatihah buat roh beliau.


Ulasan

  1. sedih...:) kita juga akan menyusulnya kelak

    BalasPadam
  2. Salam Rdhanz...
    Al-Fatihah buat beliau.
    Bolehkan kak su kategorikan ia sebagai kematian yang mudah? Seperti seorang saudara di kg. Mak mertua kak su cerita, sejam sebelum arwah meninggal, dia masih mampu berbual panjang dgn seorang saudara yg datang menziarah.

    Terkadang bila mendengar berita kematian yg sebegitu, kak su jadi cemburu.Entah bagaimana cara Allah menjemput kak su nanti. Seringkali kak su berdoa, mohon pd Allah agar dipermudahkan perjalanan utk menemuiNya. Kalau boleh kak su tak mahu sakit dan menyusahkan orang. :(

    BalasPadam
  3. Waalaikumussalam.

    Mengikut cerita kawan-kawan, kematian Allahyarham memang banyak tanda-tanda yang baik.
    1. Mati kerana penyakit TB dalam keadaan kurus. Ada hadith yang menunjukkan siapa mati kerana penyakit kurus (TB) itu mati syahid.
    2. Allahyarham hafiz 30 juz.
    3. Berpeluh ketika meninggal.
    4. Mati ketika musim peperiksaan. Tentu masa digunakan sebaiknya.
    5. Disolatkan oleh ramai orang. Pertama oleh kawan-kawan di Mesir. Kedua oleh penduduk kampung di Terengganu. Ketiga oleh jemaah Masjid Al-Azhar di musim peperiksaan. Memang ramai!
    6. Walaupun allahyarham meninggal pada malam Sabtu, tapi tak ada sesiapa yang boleh sahkan bila sebenarnya yang dia meninggal. Mungkin petang itu -- hari Jumaat.

    Memang kematiannya wajar dicemburui.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman