#Jan25: 10 hari pertama

Isnin, 24 Januari 2011

Saya tiba dari Sinai, jadi pengiring kepada rombongan dari Jordan. Tiba di rumah agak lewat malam. Sekitar jam 11.30pm. Dapat berita bahawa esok ada peristiwa besar akan berlaku.

Selasa, 25 Januari 2011

Rupa-rupanya hari ini cuti umum sempena Hari Polis. Rentetan dari kejayaan di Tunisia dan pelbagai isu lain, kumpulan hak asasi manusia di sini menganjurkan Hari Kemarahan dengan beberapa tuntutan yang jelas. Antaranya ialah ganti Presiden dan bentuk kerajaan baru.

Beberapa orang sangsi akan kejayaan protes ini. Akhirnya kesan protes dapat dirasai dengan sekatan pada Twitter.

Rusuhan besar berlaku di beberapa tempat di seluruh Mesir, antaranya Tahrir (Kaherah), Iskandariah dan Suez.

Dianggarkan akan berlaku rusuhan susulan selama tiga hari berturut-turut.

Rabu, 26 Januari 2011

Rusuhan diteruskan. Twitter berjaya diakses pada waktu pagi sebelum ia disekat semula beberapa jam selepas itu. Facebook ditutup beberapa kali untuk tempoh yang sekejap. Dapat ikuti perkembangan semasa melalui Twitter dan Youtube.

Jangkaan rusuhan hari ini tak sehebat semalam, kerana hari ini bukan cuti umum. Rakyat Mesir perlu bekerja seperti biasa.

Khamis, 27 Januari 2011

Rusuhan berjaya mengekalkan momentumnya. Dapat berita bahawa akan berlaku rusuhan besar-besaran esok di masjid-masjid dan gereja-gereja.

Twitter dan Facebook mulai disekat. SMS juga disekat. Hanya boleh buat panggilan telefon.

Pengguna Blackberry masih boleh ikuti perkembangan semasa melalui Twitter kerana Blackberry Internet Service (BIS) masih belum disekat.

Senarai masjid-masjid dan gereja-gereja yang akan dijadikan tempat berhimpun beredar di blog-blog.

Jumaat, 28 Januari 2011

Internet dan SMS disekat. Hanya boleh buat panggilan telefon. Tak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Khutbah Jumaat di Masjid Sahabat, Hayy Asyir mengingatkan kepada hadirin supaya menjaga keamanan dan tidak merosakkan harta awam.

Seharian saya berkurung di rumah tanpa mengetahui apa yang berlaku di luar sana.

Tak lama kemudian panggilan telefon pula disekat.

Sabtu, 29 Januari 2011

Selesai solat Subuh, ziarah rumah kawan-kawan untuk tahu perkembangan. Rupa-rupanya semalam diumumkan perintah berkurung dari jam 6.00pm hingga 7.00am. Hanya yang ada TV dan radio dapat ikuti perkembangan semasa.

Dapat berita yang parlimen Mesir dibubarkan.

Hari ini kali pertama untuk satu tempoh yang lama saya rasa teruja untuk beli surat khabar.

Sekitar jam 10.00am, talian Vodafone mulai aktif. Tapi hanya untuk panggilan. SMS masih disekat. Saya ambil peluang untuk beritahu keluarga di Malaysia dan kakak di UK bahawa saya selamat.

Sekitar jam 12.30pm, talian Etisalat mulai aktif.

Dapat berita perintah berkurung bermula jam 4.00pm hingga 8.00am. Bermakna, tak akan ada Internet sehingga esok.

Peruncit mengesahkan bahawa Presiden akan membentuk kabinet baru. Itu sumber yang paling boleh dipercayai setakat ini.

Qunut nazilah ketika solat Asar di Masjid Sahabat. Antara kandungannya ialah kurniakan pemimpin yang soleh, keluarkan pemimpin yang zalim dan berikan keselamatan pada harta dan agama.

Kemudian ada peringatan kepada jemaah supaya menjaga keselamatan kerana tiada pihak yang berkuasa sekarang.

Menurut akhbar Al-Masry Al-Youm, 26 terkorban manakala 1700 tercedera. Ada maklumat terkini mengatakan korban mencecah 50+.

Tapi bila baca Akhbar Al-Youm, lain pula nadanya, seolah-olah rakyat kebanyakkannya tidak setuju dengan rusuhan ini.

Jiran mengingatkan supaya kunci pintu bangunan tidak kira siang atau malam.

Menjelang Maghrib dapat panggilan bahawa pencuri berkeliaran di sekitar Hayy Asyir.

Terima panggilan kedua, ingatkan supaya kunci semua pintu yang boleh dikunci. "Gila sekarang ni!" katanya.

Mungkin kerana tiada pihak yang berkuasa sekarang yang boleh jamin keamanan, maka pencuri kecil-kecilan berleluasa.

Rupa-rupanya ada banduan yang terlepas dari penjara.

Ahad, 30 Januari 2011

Dapat panggilan dari Maizatul yang bekerja di NST bertanyakan suasana di sini. Tak dapat berikan gambaran menyeluruh kerana sepanjang malam berkurung dalam rumah.

Semalam jiran ada mengawal di hadapan bangunan. Siap dengan kayu-kayu sebagai senjata. Kata Hatim, tak ada apa-apa yang berlaku. Cuma kedengaran beberapa kejadian dan tak dapat pastikan sama ada sahih atau tidak sebab mereka kekal berjaga di tempat masing-masing.

Juga beberapa kejadian false alarm. Tak tahu siapa yang lakukan, tapi mungkin helah pencuri supaya dapat tarik perhatian ke tempat yang salah dan mereka dapat ambil kesempatan di tempat yang tidak dikawal.

Buat kali keduanya saya rasa bersemangat untuk mencari surat khabar. Malangnya surat khabar belum sampai.

Saya berjanji dengan Hatim untuk ikut serta mengawal petang ini bermula selepas Asar. Malu rasanya bila orang lain mengawal di luar, sedang kita tidur dengan selesa di dalam.

Bekalan makanan masih cukup. Daging boleh bertahan sampai seminggu, ditambah dengan telur yang mungkin boleh bertahan beberapa hari selepas itu. Beras masih sangat banyak untuk makan seorang. Cuma gula yang mungkin terlebih dahulu habis. Mujur baru tukar tong gas. Boleh tahan beberapa bulan lagi. InsyaAllah.

Kerajaan Mesir kena cepat buat keputusan yang memenuhi kehendak rakyat. Jika tidak, rakyat akan menanggung segala bebannya.

Katanya rusuhan akan diteruskan di Tahrir.

Menjelang Zohor dapat berita bahawa Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (Kedutaan) memberitahu akhbar bahawa jika keadaan semakin teruk, semua rakyat Malaysia, pelajar dan pekerja akan dihantar pulang ke Malaysia. Ada juga kebimbangan bahawa penerbangan akan disekat. Juga pengesahan bahawa Presiden Mubarak bubar parlimen dan bentuk kabinet baru.

Mujur saya ada dua nombor telefon; Vodafone dan Etisalat. Setakat ini hanya dapat terima panggilan dari Malaysia melalui nombor Vodafone. Katanya tak dapat nombor Etisalat tidak dapat dihubungi.

Ambil peluang telefon kawan-kawan di Sayeda Zaenab. Ada kereta kebal dan kereta perisai di jalan raya. Balai polis terbakar. Ada juga yang terkena asap pemedih mata ketika berada di beranda rumah. Jalan raya dikendalikan orang awam. Semalam beberapa orang perompak berjaya ditangkap penduduk sekitar yang berkawal sepanjang malam. Bekalan makanan juga dijangka akan berkurang. Rasanya saya perlu beli makanan untuk simpanan.

Penduduk setempat mulai panik. Kedai runcit sesak. Sebab bekalan saya masih cukup, saya pilih untuk beli kredit, bukan makanan. Tapi untuk keselamatan, kena berjimat ketika makan.

Bunyi pesawat di udara sangat tidak menyenangkan.

Sertai kawalan setempat dengan jiran-jiran bersenjatakan kayu dan besi. Jalan disekat penduduk setempat untuk menjaga keamanan. Menurut Hatim, banduan bersenjata berkeliaran sekarang dan ada kemungkinan untuk sampai ke Hayy Asyir.

Kanak-kanak turut serta.

Saya tahu saya tak mampu menyumbang banyak, kerana ternyata orang Mesir lebih kuat. Paling tidak saya sertakan mata saya bersama-sama mereka.

Orang Mesir memang suka berbual. Mudah cerita, orang muda sokong rusuhan ini, demi memperbaiki kerajaan yang ada. Orang tua pula tak setuju, kata mereka ada cara yang lebih selamat selain dari rusuhan seperti ini. Maka berlakulah sesi kuliah yang panjang dan tak berpenghujung. Ubat mengantuk.

Setelah dijamu teh dan kurma oleh Hatim, tiba-tiba terdengar bunyi kuat dari belakang. Bunyi seperti bola jatuh ke atas bumbung kereta. Tapi tak nampak apa-apa. Setelah pusing dua tiga kali barulah ternampak peluru kecil di atas bumbung kereta. Bumbung berlubang. Kereta yang terkena itu teksi lama yang memang tak bergerak.

Kami mula buat spekulasi bagaimana peluru itu boleh terbenam di situ sedangkan kami tidak dengar bunyi tembakan. Hanya terdengar bunyi ketika peluru itu mendarat.

Peluru sesat!

Peluru sesat
Misteri peluru sesat masih belum terjawab. Pengetahuan kejiranan di sini tentang jenis-jenis pistol agak mengagumkan.

Tak berapa lama kemudian, muncul deretan kereta perisai. Landskap mulai berubah. Dengar khabar, esok jam 3.00pm, tentera akan kawal suasana. Rakyat setempat dapat rasakan keamanan semakin terjamin dengan kehadiran tentera. Pada saya, ini petanda buruk. Ertinya, suasana tak terkawal ini akan berterusan untuk tempoh yang lebih lama.

Akhirnya dipaksa masuk ke dalam rumah oleh Pakcik Usamah dan Pakcik Sayed.

Sebelum itu, kedengaran bunyi letupan dari jarak yang jauh. Tak tahu apakah ia.

Kata Pakcik Usamah, "Keamanan lebih penting dari makanan."

Moga Allah subhanahu wa taala mengembalikan keamanan kepada Mesir.

Isnin, 31 Januari 2011

Mula terima SMS dari Etisalat dan Vodafone sejak 3.00am. Tapi belum dapat terima dari pengguna biasa.

Pagi tadi tingkap diketuk banyak kali ketika saya sedang nyenyak tidur. Sengaja saya biarkan. Bila saya intai, nampak seperti orang yang tak dikenali. Apa-apa hal pun, elok orang Mesir sendiri yang uruskan.

Rupa-rupanya bawwab datang nak basuh tangga. Pada mulanya agak hairan, situasi seperti ini orang sudah tak hairan sama ada tangga bangunan bersih atau kotor. Tapi, setelah fikir dua kali, memang tak dapat tidak bawwab terpaksa basuh tangga. Sebab upah mereka berdasarkan kerja. Tiada kerja, tiada gaji. Darurat pun tetap perlukan duit untuk beli roti.

Dapat arahan supaya kemaskan beg. Belum ada arahan untuk keluar Mesir, cuma bersiap sedia. Kedutaan sedang berkira-kira untuk beri kata putus.

Jika keadaan tak pulih dalam tempoh dua tiga hari ini, pada saya elok dipindahkan keluar rakyat Malaysia dari Mesir. Bekalan makanan akan berkurangan dan dalam situasi seperti ini pastilah rakyat Mesir diutamakan.

Banyak kredit habis untuk hubungi Malaysia dan UK. Esok dah tak boleh telefon dah.

Esok jam 8.00am Kedutaan akan mengumumkan nasib rakyat Malaysia di Mesir. Saya harapkan kami dibawa pulang ke Malaysia.

Dokumen penting sudah disiapkan dalam beg. Kemudian basuh baju dan bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.

Katanya esok perintah berkurung sepanjang hari sebab perusuh merancang untuk mengumpulkan sejuta orang.

Esok genap seminggu rusuhan #Jan25.

Keluar melihat kawasan sekitar sebentar tadi, keadaan sangat sunyi. Terserempak dengan Dr. Samer yang memegang pistol sambil diiringi dua orang sedang mengelilingi kawasan sekitar.

Teringat kejadian peluru sesat semalam. Agak menakutkan untuk berkawal sendirian di luar. Saya berundur masuk ke dalam rumah. Tapi masih menunggu waktu yang sesuai untuk sertai kejiranan untuk dapat tahu berita semasa dan apakah bacaan mereka untuk hari berikutnya.

Selasa, 1 Februari 2011

Kehidupan diteruskan seperti biasa. Cuma agak muak dengan perintah berkurung. Saya ziarah rumah kawan untuk kurang rasa bosan. Juga untuk mencari berita.

Semalam tidur awal, tak dapat ikut serta berkawal dengan jiran-jiran. Maknanya tak ada berita.

Pulang ke rumah, beli bawang dan akhbar. Harga bawang naik 50pt dari biasa.

Kedutaan negara-negara Eropah belum keluarkan perintah keluar Mesir. Cuma mereka nasihatkan supaya patuhi perintah berkurung.

Kredit telefon juga susah nak dapat.

Sebagaimana yang dijangka.

Rasanya saya masih boleh bertahan seminggu lagi dalam keadaan seperti ini. Tapi tak pasti apa pula akan terjadi selepas seminggu.

Dapat dua panggilan dari Malaysia memberitahu bahawa Perdana Menteri Malaysia pesawat dan kapal ke Mesir untuk bawa rakyat Malaysia keluar ke Jeddah, Arab Saudi. Kemudian akan dihantar pulang ke Malaysia dari sana.

Saya tanya pada kawan tentang hal ini dan dia katakan yang Kedutaan akan keluarkan arahan petang ini tentang bagaimana urusan ini akan laksanakan.

Saya bersiap apa yang perlu.

Harap-harapnya tak terlepas atau tak jadi.

Dapat panggilan mengatakan bahawa kerajaan Malaysia telah menyiapkan dua kapal dan tiga pesawat yang akan memindahkan kami dari Mesir ke Jeddah. Perempuan dan keluarga akan naik pesawat, manakala lelaki bujang akan naik kapal.

Urusan di Jeddah belum jelas sama ada perlu bayar atau tidak.

Mendengar ucapan Presiden Mesir Hosni Mubarak
Presiden Mesir Hosni Mubarak mengumumkan akan kekal sebagai Presiden sehingga pilihanraya akan datang pada September nanti dan menyatakan bahawa tidak akan mencalonkan diri dalam pilihanraya tersebut.

Kejiranan di sini rata-rata berpuas hati dengan penyelesaian ini. Cuma tidak tahu bagaimana mood rakyat yang berdemonstrasi di Tahrir.

Penat, nak tidur.

Rabu, 2 Februari 2011

Ternyata keputusan Presiden Mesir tidak memuaskan kehendak pendemonstrasi. Tapi ia lesen untuk pihak berkuasa pertindak lebih ganas.

Terima beberapa panggilan daripada Malaysia untuk bertukar-tukar berita.

Pesawat pertama evakuasi berlepas jam 12.00pm. Terus ke Kuala Lumpur.

Ada berita baik, Internet telah pulih!

Untuk beberapa jam pertama saya sangat sibuk memberitahu kawan-kawan keadaan terkini di sini melalui Facebook, Twitter dll.

Khamis, 3 Februari 2011

Keadaan semakin ganas di Tahrir.

Tapi tidak di Hayy Asyir. Keadaan tenang, cuba sedikit sunyi. Tidak sibuk seperti biasa.

Bekalan kredit habis di kedai-kedai. Menariknya, syarikat Mobinil dan Vodafone memberikan LE1 setiap hari untuk memudahkan penggunanya membuat panggilan penting.

Saya berkumpul di rumah kawan siap dengan beg berisi pakaian. Bersedia untuk pulang bila-bila masa. Rumah sudah dikunci dengan baik.

Tapi proses evakuasi tidak lancar. Banyak masalah yang berlaku.

Dapat beberapa panggilan dari Malaysia. Berita di Malaysia membuatkan ibu bapa agak panik dengan keadaan anak-anak mereka yang masih di Mesir.

Kami di sini dalam keadaan selamat selagimana kami menjauhi kawasan rusuhan dan mematuhi perintah berkurung.

Cuma untuk pulang ke Malaysia, urusannya tidak semudah ketika keadaan aman.

Bekalan makanan masih cukup untuk tiga empat hari.

Saya bercadang untuk menulis peristiwa ini apabila keadaan sudah tenang. Sama ada di Jeddah atau di Malaysia. Tapi dengan sekadar menunggu tanpa tugasan lain, keadaan tidak bertambah baik. Maka saya tuliskan ia sekarang.

Penting untuk saya dan kawan-kawan sedar apa yang sedar berlaku sekarang dan dapat memahami situasi dengan setepat yang mungkin supaya tidak menimbulkan panik yang tidak perlu. Juga tidak berasa terlalu selesa dan tidak buat apa-apa.

Esok Jumaat kedua selepas demonstrasi bermula.

Saya akan khabarkan perkembangan dari semasa ke semasa.

Ulasan

  1. alhamdulilla dpt berita dari sumber yang betul dan terpecaya. berita di malaysia memang sangat menakutkan. jangan lupa update selagi mampu.

    BalasPadam
  2. InsyaAllah, akan cuba selagi termampu. Doakan kami.

    BalasPadam
  3. Salam. Mcik pun ada anak lelaki belajar d Mesir. Dalam perjalanan balik skrg. Lega dia selamat. Tapi jauh d sudut hati ada rasa......tak tahu nak describe.....kita melepaskn peluang untuk berjihad?kita lepaskn peluang utk syahid? kita tak bersama saudara seislam kita kita mrk susah?Bukankah memerdekakn Mesir dari pemerintahan yg tunduk kpd US dan Israel bererti kita selangkah kearah pembebasan Al-Quds? Namun jika anak makcik minta izin menyertai rakyat mesir adakah makcik sanggup melepaskannya?

    BalasPadam
  4. Satu sudut pandang yang tak sepatutnya kita remehkan. Terima kasih.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman