Hari yang panjang di Damsyiq

12 Ogos 2009

Nak beli tiket ke Istanbul perlu tunjukkan pasport dan saya tertinggal pasport di rumah Ubai. Maka, kami berpatah balik dan terus ke stesen bas.

12.15pm: Alhamdulillah, tiket bas telah dibeli dengan harga SP2000 (RM140).

1.00pm: Kami menuju ke masjid untuk solat. Dalam masjid tersebut terdapat tiga maqam. Salah satunya maqam sahabat Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam iaitu Abu Darda'. Di sisinya maqam Ibni Qudamah, pengarang kitab Mughni (kitab fiqh Hambali yang masyhur) dan maqam Amir Haji zaman Uthmaniah.

Keluar saja dari masjid, saya terlihat kebun bunga yang cantik. Dari kejauhan saya dapat mencium harum bau bunga yang mekar. Kami teruskan perjalanan ke Suq Hamidi. Pasar yang sangat besar dan pelbagai. Suasana di sana sibuk dan sesak. Macam-macam barang dijual di Suq Hamidi. Bahkan setiap barang utama ada lorongnya. Lorong barangan kulit, lorong stokin, lorong kain dll. Ubai tunjukkan saya satu tempat bernama Dar Hadith, tempat di mana Imam Nawawi pernah belajar suatu masa dahulu.

Kemudian kami ziarahi maqam Salahuddin Al-Ayubi. Panglima yang kubunya berada di serata tempat yang saya lalui ini rupa-rupanya bersemadi di sini. Ramai pelancong muslim dan bukan muslim datang menziarahi tempat ini dengan niat masing-masing. Di sebelah maqamnya ada satu penutup maqam yang cantik, barangkali diperbuat dari batu marmar tetapi tidak digunakan. Tertulis di situ ia adalah hadiah dari kerajaan Perancis.

Kami teruskan perjalanan kami ke Masjid Umawi. Sebaik sahaja masuk ke masjid tersebut, saya terpegun dengan keindahannya. Terdapat lukisan-lukisan yang menarik yang berbentuk bangunan dan tumbuhan. Tiada lukisan haiwan atau manusia. Seni binanya sangat teliti dan halus. Saya memerhati dengan ralit.

Di bahagian dalam terdapat maqam yang menempatkan kepala Nabi Allah Yahya. Kemudian kesan Nabi Hidir dan Hud.

Terdapat juga kesan tinggalan gereja, iaitu tempat pembaptisan anak. Masjid ini sebelumnya adalah gereja yang sedikit demi sedikit diubah menjadi masjid. Damsyiq merupakan pusat pemerintahan kerajaan Umawi, maka tidak hairan masjidnya seindah ini.

Di masjid inilah Imam Ghazali menulis kitab Ihya Ulumiddin. Juga maqam kepala Saidina Husain sebelum ia dipindahkan ke Mesir.

Saya bergambar di jam matahari yang terdapat di kawasan lapang masjid tersebut. Di sini saya dapat melihat menara putih.

Kami keluar melalui pintu lain. Tertulis tanda jalan 'Old Damascus' dan kami berhenti sejenak di maqam Nuruddin Zinki. Siapakah dia? Dialah bapa saudara Salahuddin Al-Ayubi yang memulakan usaha untuk mendapatkan kembali Baitul Maqdis dari tangan tentera Salib. Usaha ini akhirnya disempurnakan oleh anak saudaranya Salahuddin.

Kami kemudiannya menuju ke kawasan maqam Bab Saghir. Di sana kami menziarahi maqam Ibni Qayyim Al-Jauzi, sabahat Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam Aus Aus Ath-Thaqafi, Bilal bin Rabah, khalifah-khalifah Umawi; Walid bin Abdul Malik, Abdullah bin Marwan dan Mu'awiyah bin Abi Sufyan. Maqam Mu'awiyah terpaksa di pagari dengan pagar besi kerana puak Syiah selalu cuba untuk merosakkan maqam ini. Kelihatan kesan pencerobohan seperti tingkap kaca yang pecah.

Di luar kawasan maqam, kelihatan maqam Ibni Asakir, seorang muhaddith di zamannya.

Kami melangkah ke maqam Ummu Habibah dan Ummu Salamah. Kedua-duanya adalah isteri Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam yang juga merupakan ibu kepada seluruh muslimin.

3.20pm: Kami ke Restoran Hadramaut untuk makan tengah hari. Setengah ayam mandi dan setalam nasi basmathi dimasak dengan za'faran untuk kami berdua. Dihidangkan juga susu masam dan kisaran tomato, cili dan bahan lain sebagai sambal. Tak sangka di sini juga ada makanan Yaman.

3.55pm: Kami pulang dan rehat. Ubai meminta diri untuk keluar kerana ada beberapa urusan. Saya perlu rehat dan kemaskan barang kerana saya perlu ada di stesen bas pada jam 10.00 malam untuk ke Istanbul.

Harap semuanya baik, insyaAllah!

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman