Pasar seni di Eminonu

14 Ogos 2009

9.40pm: Akhirnya saya bertemu dengan kawan saya. Kami terus menuju ke Rumeli Hisarustu, kawasan di mana dia tinggal. Tiba di Rumeli Hisarustu, kami singgah di pasar raya dan beli susu, pisang dan air mineral. Sebelum ke rumah, kami singgah di kedai makan dan menikmati sup yang sangat sedap.

11.00pm: Kami tiba di apartment. Dia akan tinggalkan saya sendirian di biliknya. Dia sendiri akan tidur di rumah kawannya, tiga minit dari situ. Dia tunjukkan bilik air dan dapur agar saya selesa untuk bergerak dalam rumah tersebut. Sebetulnya dia tinggal dengan beberapa orang yang lain, namun kebetulan semua keluar. Dia nasihatkan saya agar berehat kerana perjalanan saya sangat jauh. Dia keluar dan saya basuh pakaian saya sebelum tidur. Sempat juga melayari Internet.

15 Ogos 2009

4.30am: Saya bangun untuk Solat Subuh. Tak lama kemudian saya terdengar laungan azan. Saya solat sekali lagi kerana menyangka solat saya yang sebelum ini tidak sah kerana belum masuk waktu. Rupa-rupanya saya terkeliru antara azan dan iqamah. Iqamah di sini hampir sama dengan azan kerana mereka ulang takbir empat kali dan syahadah dua kali seperti azan. Kerana itu saya terkeliru.

Selesai solat saya layari Internet.

9.00am: Saya mandi dan bersiap untuk aktiviti seterusnya sendirian. Kawan saya perlu bekerja pada hari-hari saya di Istanbul. Malam baru kami boleh berjumpa. Tak apalah.

10.30am: Saya tiba di Kapalicarsyi atau Grand Bazar. Di tangan saya buku yang menerangkan tentang sejarah Istanbul. Ternyata buku itu lebih menarik minat saya berbanding bazar. Saya meredah lautan manusia dan melilau mencari tempat yang sesuai untuk membaca.

Saya tiba di satu sudut di mana ada warung teh di situ. Saya pesan secawan teh dan teruskan membaca.


12.30pm: Sudah hampir waktu Zohor. Saya bergerak untuk mencari sarapan. Saya dapatkan roti yang diisi dengan ayam yang disalai. Agak pedas kerana ada cili hijau segar di dalamnya.

1.15pm: Kedengaran azan Zohor dilaungkan. Saya solat dan tidur di masjid. Tertidur kerana sedang membaca buku sejarah yang agak berat kandungannya.

3.40pm: Saya bergerak menuju Eminonu yang dikenali sebagai Spice Bazar. Di sana saya teruja melihat sekelompok artisan sedang mempamerkan hasil kerja mereka. Ada yang buat karikatur, lukisan penanda buku, mencorakkan baju dll. Saya luangkan masa yang agak lama untuk meneliti hasil karya mereka. Sangat memberi inspirasi.

Bila menjelang malam, angin bertiup kencang. Buat pertama kalinya dalam perjalanan saya kali ini saya diserang sakit perut. Mungkin kerana cili hijau segar tadi. Selepas itu saya ada makan nasi yang ditutup dengan ayam salai yang tak berapa menjadi. Masin. Saya pulang ke rumah.

7.50pm: Saya tiba di rumah dengan selamat. Kawan saya perlu hadiri majlis perkahwinan malam ini. Kemungkinan saya tak dapat berjumpa dengannya. Saya solat dan berehat.

10.20pm: Kawan saya datang ke rumah dan ajak saya keluar. Dia pulang awal sebelum majlis habis. Ramai tetamu yang keluar awal kerana ada perlawanan bola sepak malam itu. Orang Turki memang minat bola. Terutamanya pasukan terkenal Turki, Besiktasy. Kami keluar untuk beli susu dan makan sup yang sama seperti semalam.

11.00pm: Pulang ke rumah. Saya layari Internet sebelum tidur.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman