Madu yang tumpah

Seorang lelaki berjalan di depan pintu keluar terminal. Tiba-tiba beg plastik yang dibimbitnya koyak pada bahagian bawah. Dua botol madu terjatuh. Salah satunya pecah.

"Ilahi!" jerit saya separuh kuat.

Namun terdengar seseorang berkata di belakang saya, "Alhamdulillah."

"Alhamdulillah? Untuk madu yang tumpah?" bisik hati saya.

"Alhamdulillah, semuanya baik," kata lelaki itu.

Dia pun berbual dengan loghat Saudinya. Jarang ada Arab dari Saudi yang naik kapal biasa. Kebanyakkannya akan naik kapal laju. Dan dia tidak kelihatan seperti seorang yang miskin. Kami berkenalan. Dia seorang guru matematik sekolah rendah yang asalnya di Syarqiah.

Syarqiah adalah sebuah negeri di Mesir. Bandar yang paling terkenal di Syarqiah ialah Zaqaziq. Di sana terdapat sebuah kampus Al-Azhar dan sebilangan pelajar Malaysia belajar di sana. Pelajar perubatan pun ada. Saya nyatakan padanya, saya pernah ke Zaqaziq sekali hanya untuk makan krib. Krib adalah sejenis makanan yang hanya saya temui di Zaqaziq. Ia seakan lempeng yang diisi inti seperti daging burger yang dihiris panjang, bebola ikan, keju, sos dll, kemudian dilipat seakan-akan segi tiga. Rasanya sangat enak! Berbeza dengan makanan Mesir yang lain.

Dia hanya ketawa dan kelihatan kurang berminat untuk bercerita tentang krib.

Setelah beberapa jam menunggu, akhirnya kami dipanggil untuk beratur. Ahmad, guru matematik tadi berdiri beratur di hadapan saya dengan adiknya, Hazim -- mahasiswa tahun satu jurusan kejuruteraan di Iskandariah. Hazim lebih banyak senyum. Abangnya ramah. Berbual dengan siapa saja.

Ahmad selalu berulang alik Mesir-Saudi kerana ayahnya berada di Saudi sejak 20 tahun yang lalu. Dia ceritakan perihal sistem pengurusan kapal yang sudah berubah sekarang. Katanya, 5-6 tahun lalu segalanya teratur dan tersusun. 2-3 tahun kebelakangan ini, semuanya menjadi kucar-kacir. Hal ini membuka ruang untuk pekerja di sini menerima rasuah. Jika teratur susah untuk memberi dan menerima rasuah.

Kami berdiri agak lama di tengah-tengah panas dalam keadaan beratur di sisi kapal. Kapalnya besar. Tiga tingkat, tidak termasuk bahagian bawah kapal. Saya tersenyum sendirian kerana sebelum ini saya pernah katakan pada Mama bahawa saya akan naik bot untuk merentasi laut ke Jordan. Mama terkejut dan bimbang. Mungkin Mama gambarkan bot penambang yang kami berdua pernah naiki masa saya kecil untuk merentas Sungai Terengganu. Bot itu kecil dan enjinnya menyakitkan telinga.

1.45pm: Saya diarahkan untuk meninggalkan satu beg saya di stor. Kemudian saya menuju ke atas. Rupa-rupanya Ahmad menunggu saya di ruang tengah kapal.

Ulasan

  1. pembetulan:mansurah ade krib juga

    BalasPadam
  2. @Haidar: Oh. Tak pernah pun belanja orang Kaherah. Sebab tu la tak tahu. Hehe.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman