Pelabuhan Aqabah

9 Ogos 2009

Pengumuman bahawa kapal akan berhenti diulang-ulang. Istimewa masyarakat Mesir, mereka memang suka berasak-asak. Saya juga terikut-ikut. Saya isyaratkan kepada Ahmad dan Hazim supaya pergi dulu. Pasport mereka sudah di tangan mereka. Sedang pasport saya dipegang pihak kapal. Katanya saya boleh tuntut setibanya saya di pelabuhan. Berbeza warganegara bererti berbeza layanan. Alhamdulillah, sebagai warganegara Malaysia, saya dilayan lebih baik.

Saya turun ke stor untuk mengambil beg. Kemudian bergegas mengikut orang ramai ke pelabuhan. Sebagaimana di Nuweiba', di sini juga disediakan bas untuk menyingkatkan perjalanan.

Setibanya di bangunan pelabuhan, saya diserahkan pasport. Apabila pasport sudah di tangan, saya boleh melangkah laju. Di hadapan ada pemeriksaan beg. Saya dengan sukarela membuka beg-beg saya, namun tidak begitu diendahkan pegawai yang bertugas. Lepas. Alhamdulillah.

Kemudian pasport saya dicop. Kini saya secara rasmi sudah masuk Jordan. Saya keluar dari bangunan tersebut. Tempat ini dinamakan Pelabuhan Aqabah. Bandar berhampiran adalah Bandar Aqabah. Menurut Ismail, Bandar Aqabah adalah bandar yang lengkap kerana berdekatan dengan pelabuhan. Ramai pekerja-pekerja asing menetap di sana. Saya tumpang semangat Ismail yang suatu masa dahulu juga pernah mengembara sendirian dari Mesir ke Jordan.


10.45pm: Sebaik sahaja saya keluar, saya disapa seorang lelaki dan dia tawarkan khidmat pengangkutannya kepada saya. Saya katakan bahawa saya ingin ke Mu'tah dan dia berkata bahawa memang dia tinggal di Mu'tah dan sememangnya akan pulang ke Mu'tah. Saya pegang beg saya dengan erat. Ahmad pernah ingatkan saya supaya berhati-hati dengan orang yang menghulurkan bantuan sebaik sahaja tiba di Aqabah, kerana mereka hanya mahukan duit. Jika mereka sudah berkhidmat kepada saya dengan mengangkat beg, mahu tidak mahu saya terpaksa bayar.

Saya cuba hubungi Amir, adik Ismail yang belajar di Universiti Mu'tah. Lelaki tadi mencadangkan saya menggunakan telefon bimbitnya. Saya terima pelawaannya. Saya perlu menuju ke Karak dan dari Karak saya sudah dekat dengan Mu'tah.

Lelaki tadi masih berusaha memujuk saya menaiki coasternya. Katanya saya akan dihantar terus ke Mu'tah. Oleh kerana saya sendirian, saya perlu membayar sewa keseluruhan coaster, JD50 (RM250). Saya terperanjat dengan jumlah yang ditawarkannya. Mustahil saya setuju. Jika saya setuju, semua duit bekal saya akan habis di Jordan. Saya katakan padanya saya tunggu kenderaan lain.

Selang beberapa ketika, dia datang lagi. Katanya sudah ada empat orang yang ingin ke Karak termasuk saya. Maka bayarannya JD10 (RM50) seorang. Berpatutan, desis hati saya. Namun, salah seorang tarik diri. Katanya mahal. Dia lebih rela naik bas ke Amman. Hanya kerana seorang, kami terpaksa tunggu lagi.

Saya teringat yang saya belum solat. Memang sudah saya niatkan untuk solat jama' ta'khir. Namun saya sesal melewatkan solat kerana tiada masjid yang berhampiran. Saya ke tandas untuk berwudhu', kemudian solat di atas karpet yang selalu digunakan tuan kedai untuk solat. Terasa berbeza apabila solat dalam keadaan sekarang berbanding ketika bersenang-lenang di rumah.


10 Ogos 2009

12.15am: Selesai solat kelihatan berduyun-duyun orang memasuki coaster tadi. Alhamdulillah. Coaster itu penuh dan saya dapat lihat wajah lelaki tadi tersenyum ceria. Saya masuk dan duduk dengan meriba kedua beg saya. Beg kertas saya letakkan di tempat kaki. Penumpang yang turun sebelum Karak tambangnya JD6 (RM30), manakala yang turun di Karak tambangnya JD7 (RM35). Kami bertolak. Saya tidur dalam keadaan duduk dan berbantalkan beg yang berada di riba saya.

Coaster meluncur laju menuju destinasi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman