Solat Jumaat di Masjid Biru

14 Ogos 2009

4.00am: Akhirnya kami tiba di Istanbul. Alhamdulillah. Tempat pertama yang saya tuju ialah masjid untuk saya tunggu Subuh.

4.30am: Tiba-tiba baru saya terperasan yang saya tertinggal Al-Quran di dalam bas! Saya bergegas ke stesen dengan menggalas beg. Tak berani saya tinggalkan beg di masjid. Semua barang adalah tanggungjawab peribadi. Di stesen, bas yang saya naiki sudah tiada. Saya beritahu kepada pemandu bas yang ada bahawa saya tertinggal Al-Quran di dalam bas dan tempat duduk saya bernombor lima. Mujur dia boleh berbahasa Inggeris.

"Five minutes," ujarnya.

Saya belum benar-benar lega sebelum dapat lihat sendiri Al-Quran tersebut. Saya menyalahkan diri sendiri kenapa terlalu cuai.

Tak lama kemudian, seorang pemandu lain muncul dengan Al-Quran saya di tangannya. Alhamdulillah! Allahu akbar! Saya berterima kasih kepada kedua pemandu tersebut dan menuju ke masjid. Sebelum tiba di masjid saya buat keputusan untuk bersarapan. Saya pilih kacang panggang dalam sos tomato sebagai sarapan saya. Alhamdulillah, sedap.

Kemudian saya Solat Subuh. Kebetulan masjid yang saya solat sedang dibaiki. Maka kami semua berjemaah di ruang legar masjid, bukan di dalam.

Selesai solat, saya menuju ke cyber cafe yang dari jauh kelihatan.

Pada mulanya agak pelik kerana saya tak dapat masuk ke laman web yang saya inginkan. Sangka saya kerana ada sekatan seperti di Syria. Rupa-rupanya keyboard Turki berbeza dengan keyboard yang biasa saya guna. Ada aksara-aksara Turki yang tidak digunakan dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu.

Saya luangkan masa agak lama di sana. Sempat juga minum air berkabonat. Saya terpaksa tunggu kerana pengangkutan awam hanya akan bermula pada jam 6.30 pagi.

7.15am: Saya mula bergerak. Tempat pertama yang saya tuju ialah tandas. Kemudian ke tram (kereta api elektrik).

7.25am: Saya menaiki tram menuju Aksaray. Tambangnya TL1.50 (RM3).

7.50am: Di Aksaray saya tukar tram. Kali ini menuju ke Sultan Ahmet dan tiba di sana 10 minit selepas itu.

Kebetulan saya tiba pada pagi Jumaat. Jalan masih lengang. Kedai pun belum banyak yang sudah buka. Saya ambil kesempatan ini untuk bersiar-siar di kawasan sekitar. Menuju ke Muzium Topkapi dan Muzium Aya Sofea. Tak masuk, hanya tengok dari luar. Kemudian saya ke cyber cafe sementara menunggu Solat Jumaat. Ternyata cyber cafe di sini dua kali ganda dari yang sebelumnya. Sangat mahal!

12.00pm: Kedengaran bacaan selawat dari Masjid Sultan Ahmad atau Masjid Biru. Saya terus menuju ke sana. Selesai wudhu' saya mengambil tempat di dalam masjid. Kedengaran bacaan Al-Quran dialunkan dengan suara yang merdu. Kalau tak silap, cukup satu juz qari membacakan ayat-ayat suci. Kemudian, seorang syeikh mengambil tempatnya untuk mengajarkan Fiqh Siyam (Fiqh Puasa) dalam Bahasa Turki. Saya dapat menggagak isi kandungan pengajiannya kerana ada perkatan-perkataan Turki yang sama dengan perkataan Arab.

Kemudian, azan dilaungkan. Selesai azan, kebanyakkan jemaah bangun untuk solat sunat. Kemudian, khutbah dimulakan. Selesai khutbah, iqamah dilaungkan dan kami semua menunaikan Solat Jumaat. Selesai solat, kebanyakkan jemaah bangun untuk solat sunat. Entah berapa rakaat mereka solat. Yang pasti, banyak!


3.30pm: Saya ke taman Masjid Biru dan berehat di situ. Terliur pula melihat jagung rebus yang dijual dengan harga TL1 (RM2). Saya menikmati jagung rebus sambil melihat manusia yang lalu lalang.

5.00pm: Azan Asar dilaungkan. Saya mula bergerak menuju ke Kabatasy dengan tram. Tiba di sana saya singgah di kedai untuk minum teh sambil menghabiskan bacaan novel.

6.00pm: Saya terpegun dengan keindahan sebuah masjid di tepi sungai. Saya masuk dan beri'tikaf di dalamnya sambil menghabiskan novel. Agak lama di sana. Sehingga tiba waktu Maghrib. Saya ke tandas dan kemudiannya kembali ke masjid untuk solat.

Saya hairan dengan ketinggian seni masjid-masjid di sini. Seolah-olah semua masjid adalah masjid yang penting dan mesti dibina dengan baik. Rupa-rupanya, inilah salah satu keindahan di Istanbul. Ketika pemerintahan Khalifah Sulaiman, dilatih seorang pemuda bernama Mimar Sinan menjadi arkitek dan dia telah membina lebih 400 buah bangunan dengan mutu seni yang tinggi dan 200 daripadanya adalah masjid.

Selesai solat saya ke kedai lain untuk minum teh untuk hangatkan badan. Angin bertiup kencang sejak petang tadi. Sebelum itu saya terserempak dengan penjaja yang menjual tiram yang disumbat dengan nasi yang dimasak dengan lada hitam. Saya ambil kesempatan ini untuk merasainya. Sebelum tiram iru diberikan kepada saya, dia perahkan lemon ke atasnya. Sedap!

9.15pm: Saya telefon kawan saya kerana saya sangka saya sudah berjumpa dengannya. Rupanya bukan. Dia baru saja ingin bertolak dari tempat kerjanya.

Saya menunggunya sambil membaca novel.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman