Sarapan di Karak

10 Ogos 2009

Saya terkejut dari tidur apabila dengar suara orang bergaduh. Paha saya basah dengan peluh. Cuaca di luar tidak begitu sejuk dan saya sedang meriba dua beg. Itu yang membuatkan saya berpeluh banyak.

Pemandu bas tak puas hati dengan penumpang kerana mereka mengarahkannya masuk ke kampung-kampung dan menghantar mereka di hadapan rumah. Kami beberapa jam terlewat. Penumpang tadi cuba memahamkan pemandu bahawa tiada pengangkutan untuk ke rumah mereka kerana waktu sudah terlalu lewat. Coaster terpaksa melalui laluan pacuan empat roda.

Mujur tayar tidak terlekat atau pecah. Alhamdulillah.

Akhirnya tinggal kami bertiga. Berempat termasuk pemandu.

5.00am: Saya diberi isyarat bahawa kami sudah sampai ke hentian terakhir. Coaster berhenti di sebelah Masjid Umari dan kami semua turun. Sebaik sahaja kaki menjijak tanah, terdengar laungan iqamah dari masjid. Saya terus masuk dan tunaikan Solat Subuh.

Selesai solat, saya menyapa pemuda yang solat di sebelah kanan saya. Dia kelihatan terpelajar dan ramah. Saya tanyakan dia bagaimana untuk saya ke Masjid Syuhada di Mu'tah. Amir menghantar sms bahawa kami akan bertemu di sana. Pemuda tadi memberitahu bahawa saya perlu menaiki coaster untuk ke sana. Hanya 20 minit. Saya ucapkan terima kasih dan terus mencari coaster.

Banyak coaster yang tersusun rapi di sebelah masjid. Saya tanyakan pada imam yang kebetulan sedang berbual dengan beberapa orang lelaki di luar masjid. Seorang imam masjid tentunya ramah dan suka menolong orang. Dengan mudah dia tunjukkan coaster yang perlu saya naiki. Saya tinggalkan beg saya di dalam coaster dan saya ke kedai berhampiran untuk sarapan.

Saya ada beberapa pilihan menu. Namun tokmiah tetap jadi pilihan. Di sini ia dipanggil falafil. Ia diperbuat daripada sejenis kacang (ful) yang dikisar dengan ramuannya. Bahan ini kemudiannya diletakkan di dalam mesin yang akan memberikannya bentuk dan ia digoreng dalam minyak panas yang banyak (deep fry). Demikian cara penyediaanya di kedai ini. Rupa luarannya seperti nuget ayam. Rasanya masin dan lemak. Ia dihidangkan bersama sayur sebagai inti kepada roti yang kemudiannya digulung memanjang membentuk slilinder.

Untuk melengkapkan hidangan, saya pesankan teh. Satu uncang teh untuk satu cawan air panas. Saya suka ia manis untuk menghilangkan rasa kelat teh. Dan saya takkan biarkan uncang teh terendam lama. Pertama, untuk elakkan ia terlalu pekat. Kedua, saya diberitahu uncang teh mengandungi bahan kimia yang tidak bagus untuk kesihatan. Apatah lagi jika direndam terlalu lama dalam air panas. Arab ada gaya tersendiri untuk memerah uncang teh dengan menggunakan sudu. Uncang teh diletakkan pada sudu dan benang uncang teh tadi dililit dan kemudian ditegangkan. Saki baki air teh pada uncang akan menitis keluar. Selepas itu barulah uncang itu dibuang.

Saya nikmati sarapan saya di dalam coaster yang tidak bergerak.

5.53am: Kami bergerak menuju Mu'tah. Di sekeliling saya terlihat suasana kampung yang damai. Sejuk mata memandang.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman