Sehari di Mu'tah

10 Ogos 2009

6.30am: Kami tiba di Mu'tah. Bas berhenti bersebelahan Masjid Syuhada. Memang ia tempat bas menunggu penumpang. Pekan ini masih sunyi. Saya hantar sms kepada Amir dan tunggu di depan masjid.

Ada beberapa hal yang menarik tentang sistem bas di Jordan. Ternyata masyarakatnya sangat menghormati wanita. Jika ada perempuan yang naik, penumpang akan menyusun kedudukan mereka supaya tiada lelaki yang duduk bersebelahan dengan perempuan tanpa arahan pemandu. Bas, coaster atau kereta penumpang biasanya tak akan bergerak selagi mana tidak penuh. Maka, waktu bertolaknya sangat relatif. Untuk berhentikan bas, biasanya penumpang akan mengetuk syiling pada dinding bas dan pemandu akan segara faham.

Saya bacakan Al-Quran dengan suara yang kuat untuk hilangkan rasa mengantuk. Saya disapa saki baki jemaah masjid dengan ramah. Selang beberapa minit, Amir tiba. Sebetulnya, inilah kali pertama saya bertemu dengannya.

Dia membawa saya ke rumahnya. Saya selesakan diri saya dan dia hidangkan saya sarapan. Alhamdulillah. Seronok rasanya apabila dilayan dengan baik oleh tuan rumah. Barulah saya tahu bahawa dia sedang cuti tiga hari sempena menunggu peperiksaan. Mengetahui hal ini saya tak ingin ganggu dia bersiap untuk peperiksaan. Waktu perjalanan saya juga sudah terlewat satu hari. Namun saya ingin terlebih dahulu berehat. Rehat dalam bas yang bergoyang-goyang tak sama dengan rehat atas katil yang empuk.

Saya tidak tidur. Sebaliknya terus mengadap komputer -- mengemaskini catatan perjalanan saya. Saya perlu khabarkan keadaan saya agar semua orang yang ambil berat tentang diri saya akan berasa lega apabila mengetahui saya selamat dan sihat.

10.00am: Amir mengajak saya ke Universiti Mu'tah, tempat dia dan sebilangan besar mahasiswa Pengajian Islam dari Malaysia belajar. Bangunannya tersusun dan dihias dengan landskap yang cantik. Saya agak kekok melihat ramai pelajar perempuan di kampus kerana di Al-Azhar, kampus lelaki dan perempuan dipisahkan jauh.

Di sini saya hubungi Tarmizi yang berada di Mafraq. Dia ajak saya ke Mafraq. Dari situ saya boleh teruskan perjalanan saya, katanya. Saya berbincang dengan Amir di kafeteria. Tiada kata putus namun saya sudah ada gambaran apa yang sepatutnya saya lakukan.

12.10pm: Kami bertolak ke Mazah. Kata Amir, di sinilah tempat tinggalnya Ustaz Hasrizal (SaifulIslam) ketika belajar di Universiti Mu'tah. Dalam perjalanan ke sini, Amir tunjukkan kawasan berlakunya Perang Mu'tah. Mazah adalah tempat tentera yang sakit dirawat.

Kebetulan beberapa tahun lalu saya membentang kisah Perang Mu'tah kepada kawan-kawan. Saya masih ingat isi-isi penting kisah tersebut. Bagaimana Abdullah bin Rawahah masuk Islam hinggalah Khalid Al-Walid memimpin tentera Islam dengan strategi yang hebat dan tentera musuh berundur. Sedangkan kekuatan musuh berlipat kali ganda lebih berbanding tentera Islam.

Kami tiba di Jami' Kabir yang pembaikannya dibiayai kerajaan Iran. Tak hairan kerana di sini terletaknya maqam Ja'far At-Tayyar -- sepupu Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam. Kami masuk melawat maqam Zaid bin Harithah dan Ja'far At-Tayyar. Seni bina masjid ini mengagumkan. Juga kebersihannya. Selesai Solat Zohor, kami ke maqam Abdullah bin Rawahah yang terletak di luar kawasan masjid.

Ketiga-tiga pahlawan ini menuju syahid dan Allah Subhanahu wa Taala membalas dengan syurga. Saya merenung dengan insaf. Tidak kira maqamnya besar atau kecil, nampak atau tidak, namun para syuhada' telah menunaikan tanggungjawab mereka. Maka yang masih hidup pula haruslah berfikir bagaimana seharusnya mereka mencipta kematian mereka.

Kami pulang ke Mu'tah dan Amir belanja saya makan tengah hari. Seperempat ayam dengan nasi. Alhamdulillah. Ada beberapa orang lagi bekas pelajar sekolah saya yang belum saya temui. Saya minta Amir aturkan pertemuan kami. Selesai makan, kami menuju ke rumah di mana kawan-kawan sesekolah lain tinggal.

Di sini saya bertemu dengan Syafiq, Ifwat, Faiz dan Fakhruddin. Agak lucu melihat mereka kerana wajah mereka sangat lain dengan yang kali terakhir saya lihat. Dulu mereka semua kecil-kecil dan bersuara lunak. Sekarang suara sudah parau dan badan sudah tinggi. Saya tanyakan Ifwat bagaimanakaha caranya untuk ke Mafraq. Dia kelihatan lebih tahu. Dia terangkan kepada saya caranya dan saya catatkan dalam buku catatan saya.

Kemudian kami bersembang panjang. Kadang-kadang mengusik kenangan lama di sekolah, bertukar-tukar khabar kawan-kawan sesekolah yang belajar di Mesir, membuat perbandingan antara Jordan dan Mesir dsb.

4.30pm: Berbual tanpa topik khusus memang ralit. Saya meminta izin untuk bersiap ke Mafraq dan kami bersalam-salaman tanda berpisah. Saya perlu ke rumah Amir untuk mengambil beg-beg saya. Kemudian kami menuju ke Masjid Syuhada' untuk saya ambil coaster ke Karak. Amir pesan kepada saya supaya turun di Mujamma' Amman. Azan Asar berkumandang dan kami berpisah. Saya ucapkan terima kasih kepadanya atas kesudian menerima saya sebagai tetamu.

4.45pm: Mujur tak terlalu lama menunggu untuk coaster penuh. Coaster bergerak menuju ke Karak.

4.55pm: Kami tiba di Mujamma' Amman. Ada sebuah bas menuju ke Amman. Bas baru sepertiga penuh. Saya resah menunggu bas penuh. Kata Ifwat, selagi tak sampai di Amman, selagi itulah hati tak boleh tenang sebab di Amman pengangkutannya banyak sesuai dengannya sebagai ibu negeri Jordan. Beberapa orang penumpang yang berhati keras menghisap rokok di dalam bas yang belum bergerak. Hati saya mendidih. Mereka pentingkan diri sendiri kerana hanya untuk menenangkan fikiran mereka membahayakan nyawa orang lain. Seorang sahaja yang berasa nikmat, tetapi semua orang di sekelilingnya terpaksa menanggung azab. Saya memandang ke luar tingkap menahan marah. Di atas bukit kelihatan sebuah kubu lama. Penumpang sebelah saya katakan bahawa ia adalah kota lama yang diperbaharui Salahuddin Al-Ayyubi. Ternyata panglima ini sangat hebat orangnya. Di mana-mana saja ada kesan peninggalannya.

Ya Allah! Penuhkanlah bas ini, ya Allah!

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman