Pelabuhan Nuweiba'

9 Ogos 2009

Dua kali saya terkejut dari tidur dan terus teguk air. Panas!

3.30am: Bangun untuk bersiap. Sungguhpun pagi, tiada kesegaran pagi di sini. Hanya hawa panas yang menemani. Selesai mandi, saya tunggu azan Subuh. Sambil itu bersiap-siap dan kemas barang.

4.30am: Azan Subuh berkumandang. Solat dan terus serahkan kunci bilik. Penjaga kunci pelik kenapa saya turun awal. Saya pelik kenapa dia tanya.

Setibanya di pintu masuk pelabuhan, duf'ah mengarahkan saya untuk tunggu jam 5.00 pagi. Beberapa ketika selepas itu kelihatan orang ramai beratur. Saya bergegas masuk barisan.

5.20am: Alhamdulillah, masuk sudah ke ruang menunggu. Saya tanyakan pada orang yang duduk di sebelah saya, bertolak pukul berapa? Katanya pukul 8.00 pagi. Saya ambil posisi terbaik untuk tidur.

Beberapa jam selepas itu saya mula gelisah. Tak tahu jam berapa sebenarnya bertolak. Tak tahu apa yang sepatutnya saya buat. Baca Mathurat sudah. Baca Quran sudah. Memang saya ada bawa novel sebagai bekal. Namun belum terbuka hati untuk membacanya. Yang mengubat hati saya ialah dengan memerhati gelagat manusia di ruang menunggu itu. Kanak-kanak dan orang dewasa ada cara mereka yang tersendiri untuk menghilangkan rasa bosan mereka.

8.55am: Kami semua diizinkan masuk ke bahagian imigresen pelabuhan untuk pasport dicop. Kemudian kami diarahkan untuk menunggu di ruang menunggu. Duf'ah agak garang ketika ini kerana memang maklum dengan budaya Arab Mesir yang suka berasak-asak. Kami diarahkan untuk menunggu di terminal setelah pasport selesai dicop.

9.30am: Saya beli teh sementara menunggu proses seterusnya. Teh panas yang pekat dan manis memang mampu hilangkan ketegangan pada otot dan otak.

11.30am: Penumpang kapal laju dipanggil untuk masuk ke kapal. Saya kancingkan gigi kegeraman. Akibat maklumat yang tidak jelas, saya buat pilihan yang kurang tepat. Namun saya tunggu hikmah yang Allah Subhanahu wa Taala akan berikan akibat dari keputusan yang kurang tepat ini.

Seorang lelaki berjalan di depan pintu keluar terminal. Tiba-tiba beg plastik yang dibimbitnya koyak pada bahagian bawah. Dua botol madu terjatuh. Salah satunya pecah.

"Ilahi!" jerit saya separuh kuat.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman