Lelah yang puas!


Picture of the day, originally uploaded by rdhanz.

Alhamdulillah, selesai sudah upacara melapah dan memotong daging. Lelah belum hilang lagi. Cepat-cepat saya tulis untuk 'capture the moment'. Kalau tangguh-tangguh, hilang pula rohnya... Hehe.

Pagi tadi bermula agak awal dengan saya bergegas ke Rumah Terengganu untuk menumpang mandi di sana. Maklumlah, pemanas air di rumah masih belum dibaiki. Terpaksa minta ihsan kawan-kawan untuk menumpang bilik mandi. Selesai solat Subuh, tiba masa untuk menelefon keluarga di Malaysia. Alhamdulillah, timing yang tepat!

Ayed berada di Kelantan. Raya di sana tahun ini di kampung isterinya. Saya terkejut kerana dapat berita yang Tok masuk Hospital Jertih semalam kerana diserang strok. Semua anak-anaknya pulang. Allahumasyfi jaddati! K.wa pun ada di Besut dengan Sarah. Cuma A.pili dengan Fatir yang ada di Pasir Mas. K.nor sekeluarga pula dalam perjalanan dari Besut ke Kemaman.

Tahun ini Tokwe sediakan seekor lembu untuk dikorbankan pada hari ini -- hari raya pertama. Baba yang sembelih. K.wa kata, Tokwe niatkan untuk datuk-datuk dan moyangnya. Allah... Betapa sucinya niat Tokwe, mengingatkan saya akan erti ikatan kekeluargaan yang sejati. Dah tua-tua pun masih ingat pada yang lebih tua. Allahuma tawwil umrahu fi khair...

Esok, barulah dibuat korban di Padang Air seperti tahun-tahun sebelumnya. Harap segalanya lancar kerana kawasan itu baru sahaja dilanda banjir. Harap dengan kehadiran peserta-peserta majlis korban esok akan membawa sekali barakah dan maghfirah Allah Subhanahu wa Taala. Surau sebelah rumah tu, walaupun sunyi tapi setiap kali ada hari kebesaran, pasti berbondong-bondong yang hadir. Allah... Allah...

Saya cuma bersembang ringkas kerana kesuntukan kredit. Mama pula sibuk melayan Asyraf yang kebetulan nak susu. Saya orang yang terakhir meninggalkan rumah untuk menuju ke Suq Sayarat untuk solat AidilAdha. Padahal di perkarangan kompleks ada dianjurkan solat AidilAdha bersama Kedutaan Malaysia. Sengaja saya pilih imam Arab untuk merasai suasana berhari raya dengan Arab. Dengar gaya takbirnya saja sudah berbeza berbanding Malaysia. Semangat!

Khatib berpesan supaya persiapkan diri untuk haji akan datang dengan harta dan ilmu. Memang sebagai muslim, cita-cita untuk menunaikan haji tertanam dalam jiwa setiap orang. Tinggal lagi kesediaan material dan psikologi. Kadang-kadang, walaupun duit dah cukup, tapi sebab tak bersedia untuk belajar dan menghayati ibadah haji, tak pergi juga...

Selesai khutbah, kami beramai-ramai bergambar. Kemudian saling menziarah. Kebetulan Kedutaan Malaysia ada sediakan sarapan di dataran. Seronok betul! Tak pernah saya rasakan kemeriah seperti ini walaupun sudah hampir empat tahun di sini. Ini berikutan semua pertubuhan di Mesir berkumpul dan buat aktiviti korban secara bersama-sama. Benarlah kata orang, "Sepakat membawa berkat." Bahkan Ustaz Che Ku, senior yang paling lama di sini pun kelihatan teruja dengan kemeriahan tahun ini. Harapnya tahun depan pun semua buat majlis kat Asyir ni, OK?

Saya sempat mengikuti penyembelihan pertama pagi tadi. Seekor lembu. Semua orang tertumpu kepadanya. Bahkan anak-anak Misry pun berasak-asak untuk turut serta menyaksikan korban tersebut. Selesai korban yang pertama, korban-korban yang lain menyusul. Lapan ekor unta, belasan ekor lembu dan puluhan ekor kambing berjaya dikorbankan pada hari ini. Alhamdulillah... Moga-moga sampai beberapa kilo ke rumah ini... Hehe...

Melapah, memotong, menimbang dan membahagi-bahagikan daging dapat dilihat di setiap rumah negeri. Hingga masuk waktu Zohor, masih ada lagi yang belum berhenti.

InsyaAllah, malam ni boleh la makan daging korban...

* Lagi gambar dalam galeri Flickr di atas... Klik je mana-mana gambar yang tertera...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman