Catatan

Penghujung Mei

Selamat tinggal, Mei. Selamat datang, Jun. Mei kali ini memang luar biasa. Sangat-sangat menguji saya sebagai seorang manusia. Terkadang kita betul. Terkadang kita silap. Kita belajar dari pengalaman. Silap sekali kita boleh maafkan diri sendiri. Kalau silap lagi, tanggung sendiri. Imtihan semakin dekat. Doakan saya dan kawan-kawan!

Majlis wida Salman dan Fahmi

Dua hari lepas ada majlis wida di Dewan Jawa Barat. Majlis wida adalah majlis perpisahan. Entah ini majlis wida yang ke berapa yang saya hadiri. Setiapnya mewakili perasaan yang berlainan. Majlis kali ini buat saya termenung panjang. Sebelum majlis dan selepas majlis. Sebelum majlis saya termenung panjang sebab saya diminta untuk memberi ucapan. Saya masih belum terbiasa memberi ucapan. Apatah lagi di hadapan khalayak yang ramai. Gugup. Selepas majlis buat saya termenung atas banyak perkara. Tentang perubahan yang akan berlaku setelah ketiadaan dua sahabat yang sekian lama ada di sekeliling; Ustaz Salman Al-farisi Selamat dan Ustaz Fahmi Bazlan Muda. Dua-duanya benar-benar orang yang dirasai kewujudannya. Pasti rasanya tak sama. Juga tentang perubahan yang telah berlaku sepanjang berada di Mesir. Dalaman dan luaran. Terlalu banyak yang telah berlaku. Apa-apa pun, selamat meneruskan perjuangan. Malaysia cabaran sebenar. Mesir hanyalah medan latihan.

Tanggungjawab sosial

Ada satu laptop di Roxy. Hantar pada authorized dealer. Sampai hari ini belum telefon. Di Technology Mall pun ada hantar satu laptop. Tempat biasa hantar. Tapi kali ini luar biasa lambatnya. Kalau pergi sebelum dia telefon, kita pula yang dimarahnya. Mungkin bukan marah. Tapi jiwa Melayu mentafsirkan begitu. Dalam bilik ada satu lagi laptop. Sedang cuba untuk faham apa masalahnya yang sebenar. Dan sebuah printer. Tak tersentuh lagi. Oh, hampir terlupa. Juga ada sebuah netbook yang dianggap sudah tak ada harapan. Tapi saya nak cuba satu cara lagi. Rasa agak overwhelming sebab sekarang musim imtihan. Selagi perkakas-perkakas ini tidak sampai pada tangan tuannya, selagi itu saya tak senang duduk. Tanggungjawab sosial. Bukan bisnes sangat pun. Dulu saya pun tak begitu aktif membaiki. Komputer sendiri pun sudah banyak masalah. Tapi, masa duduk serumah dengan Ustaz Salman Abdul Rahman, dia ada sebut, "Kesian pada orang yang buntu, tak tahu nak buat apa." Ya,...

Sedar

Musim imtihan menyedarkan kita banyak benda. Masih banyak yang belum diketahui. Masih banyak yang mesti dikaji. Rasa ini sebenarnya bahan api kepada pengetahuan. Bahan api kepada penerokaan. Bahan api kepada pembelajaran. Saat diri terasa sangat kerdil di hadapan tulisan-tulisan ulama, pembentangan-pembentangan ahli akademik, saat itu kita rasa keperluan untuk kita lebih mendalami setiap aspek dengan teliti. Tanpa perasaan ini, kita akan berasa cukup dapat mendiamkan kawan sekelas, atau teman sebilik ketika berbicara. Sungguh, cara itu sangat dangkal untuk mengetahui tahap keilmuan diri sendiri. Sebab boleh jadi orang diam sebab khuatir terbongkar jahil kita pada waktu yang tidak kena.

Idea oh idea

Idea selalu datang pada waktu yang kurang tepat. Saya tak pasti orang lain. Tapi ini selalu berlaku pada saya. Musim imtihan adalah musim idea datang mencurah-curah. Tapi tak berani nak usik, takut melarat. Ambil masa ulangkaji. Maaflah, wahai idea-idea sekalian. Anda datang pada waktu begini, saya tak mampu untuk melayan. Datang semula sehari selepas imtihan. Kita akan susun dan rancang apa yang kita boleh lakukan bersama-sama. Betullah kata orang tua-tua, "Makin dikejar dunia, makin dia lari. Tapi kalau kita yang lari dari dunia, dunia pula yang kejar kita." Penat sudah main kejar-kejar. Duduk diam-diam sudah...

Malam musim panas

Malam musim panas agak pendek. Bermula sekitar 6.50pm, berakhir sekitar jam 3.10am. Semakin mendekati kemuncak musim panas, ia semakin pendek. Dengan Isya' yang bermula sekitar jam 8.20pm, maka tak banyak benda yang boleh dilakukan. Isunya adalah Subuh esok hari. Kalau pukul 10.00pm belum tidur, seeloknya jangan tidurlah. Buatlah apa-apa yang patut. Kalau terpaksa tidur pun, jangan tidur dengan selesa. Tidurlah atas lantai, atau atas kerusi dsb. Bila matahari sudah naik esok, baru ganti semula. Syuru' sekarang sekitar jam 5.00am. Agak padanlah kalau nak tidur pun. Orang Malaysia jangan tiru. Kalau kalian tidur lepas Syuru' juga, alamatnya tak pergi kerja lah jawabnya.

Tegur

Tak mungkin ada orang yang sentiasa betul. Pasti ada ketika dia berbuat salah. Atau mungkin memilih keputusan yang kurang tepat. Kerana itu penting untuk saling menegur. Tapi, menegur pun ada kaedahnya juga. Janganlah diharapkan terus berubah padahal baru tegur sekali. Tabiat buruk ambil masa untuk terbentuk. Tabiat baik juga ambil masa. Kata Ustaz Qamarul, "Menanam fikrah ibarat menanam benih." Tak boleh tergesa-gesa. Tambah banyak air tak boleh. Tambah banyak baja pun tak boleh. Tambah banyak cahaya matahari pun tak boleh. Kena sabar menunggu. Barulah benih boleh pecah, tumbuh pucuk, jadi batang, keluar daun dan keluar buah. Tapi tegur tetap kena tegur. Tapi kena ada perbincangan lah. Kena ada hujah. Tak ada hujah, tak jadilah.