#Jan25: 6 hari evakuasi

Nota: Saya tidak buat sebarang catatan sepanjang proses evakuasi. Apa yang tercatat hanyalah apa yang saya ingat.

Jumaat, 4 Februari 2011

Saya diminta agar menemani pelajar perempuan untuk dihantar ke lapangan terbang. Dua van. Bertolak selepas Jumaat. Rakyat Malaysia memenuhi Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Siap dengan khemah. Beberapa jam di sana, akhirnya menjelang Maghrib semua pelajar perempuan yang saya temankan diberi boarding pass dan masuk ke terminal.

Saya tahan teksi dan bergegas pulang. Perintah berkurung sudah berjalan.

Sabtu, 5 Februari 2011

Saya tidur di rumah kawan yang dijadikan bilik gerakkan. Maklumat-maklumat terkini akan sampai di rumah ini dahulu sebelum disebarkan kepada kawan-kawan yang lain.

Sekitar 2.00am kami dapat panggilan dari kawan yang menjadi sukarelawan di lapangan terbang supaya bersiap-siap kerana giliran kami akan tiba pagi ini. Menjelang Subuh, kami mengarahkan semua kawan-kawan bersedia sesegera yang mungkin dan menempah dua van untuk bawa kami ke lapangan terbang.

Keadaan agak kalut sebab masing-masing belum benar-benar bersedia untuk meninggalkan rumah untuk tempoh yang lama.

Tiba di lapangan terbang, gerombolan rakyat Malaysia yang rata-ratanya pelajar sedang beratur masuk untuk menaiki penerbangan ke Jeddah yang dijadualkan pada pagi tersebut. Cuma sebilangan kecil dari mereka keluarga pelajar yang mungkin kebetulan melawat anak mereka.

Beberapa jam kami di sana, akhirnya tiba giliran kami untuk beratur mengambil boarding pass dan masuk ke terminal. Terminal dibanjiri muka-muka Melayu. Sesak

Akhirnya kami berlepas ke Jeddah. Dua pesawat dijadualkan terbang ke Jeddah petang itu; satu pesawat Malaysian Airlines (MAS) Boeing 747 dan satu pesawat AirAsia Airbus A340.

Perjalanan hanya sejam setengah. Tapi kami terpaksa menunggu lama di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah kerana gerombolan yang tiba semalam pun masih ada yang berbaki. Urusan imigresen di sana sangat melecehkan.

Saya sempat beli sim card Zain dengan tukang cuci yang bekerja di sana. Berasal dari Bangladesh. Sudah lima tahun bekerja di Saudi.

Selepas solat jama' Maghrib-Isya, giliran kami untuk beratur untuk dapat cop masuk Saudi. Kami diberikan visa seminggu.

Sekitar 10.00pm, kami akhirnya dapat keluar dari lapangan terbang dan disambut pegawai Lembaga Tabung Haji yang diamanahkan untuk menguruskan kami di sini.

Kami tiba di Asrama Tabung Haji, Madinatul Hujjaj sekitar 11.00pm.

Kami diberikan tuala, sabun dan set berus gigi dan ubat gigi. Juga diberikan bilik. Tapi saya tak larat untuk cari bilik. Kebetulan berjumpa dengan Nasiruddin yang tiba lebih awal, dia ajak saya ke biliknya. Saya ambil peluang untuk makan di sana. Selesai makan barulah bertenaga untuk cari bilik. Saya tak berlengah untuk tidur.

Ahad, 6 Februari 2011

Saya berlegar-legar di sekitar asrama. Menjelang tengah hari kelihatan pemberita dari pelbagai stesen televisyen Malaysia.

Petang itu, atas saranan kawan-kawan saya ke bilik gerakan untuk membantu pegawai di sana. Banyak sebenarnya tugas yang perlukan bantuan. Kakitangan tak cukup. Kawan-kawan turut membantu.

Sekitar 9.00pm, saya terkejut dengan lautan manusia sedang beratur di hadapan meja yang telah siap disusun. Setiap malam akan diadakan sesi kutipan pasport mengikut tarikh tiba di asrama. Pemilik pasport akan diberikan token bernombor sebagai ganti dan untuk rujukan. Nombor ini akan dijadikan panduan untuk susunan penerbangan pulang ke Malaysia.

Ada lima kaunter yang dibuka. Setiap kaunter memerlukan minimum dua orang petugas. Seorang akan menaip nama, nombor pasport dan nombot token. Seorang lagi menuliskan nama pada token dan melekatkannya pada pasport.

Malangnya ada yang tidak ikut arahan. Sepatutnya yang beratur hanyalah yang tiba pada 5 Februari 2011. Tapi ada yang mengambil kesempatan turut beratur walaupun baru saja tiba. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati pada yang telah lama tiba.

Kami selesai tugas kami pada jam 2.30am. Bahu telah lenguh menaip. Mata terasa panas. Perlu cepat rehat.

Isnin, 7 Februari 2011

Saya keluar-masuk bilik gerakan. Tapi tak banyak yang dapat saya tolong sebab tubuh sudah penat. Akhirnya mengalah dan tidur.

Sebelah malamnya ada lagi sesi kutipan pasport. Kali ini 10 kaunter dibuka, dan lebih tersusun. Beratur mengikut tarikh tiba di asrama. Pukul 11.00pm selesai kerja. Kami tertanya-tanya kenapa begitu cepat? Mungkin sebab buka 10 kaunter. Tapi sebab yang lebih kuat adalah sebab sudah ramai yang ambil kesempatan semalam. Maka yang beratur malam ini hanyalah baki.

Saya diingatkan tentang ada tugas menyusun pasport di bilik gerakan sebab esok ada tiga penerbangan. Kami baru selesai susun untuk satu penerbangan. Dua penerbangan lagi masih belum tersusun elok. Semuanya perlu disiapkan sebelum esok pagi.

Memandangkan sudah ramai yang sukarela di bilik gerakan, saya pilih untuk tidur.

Selasa, 8 Februari 2011

Pagi-pagi lagi saya sudah ke bilik gerakan, teringatkan kerja yang saya tinggalkan semalam. Ada dua pegawai Tabung Haji di sana. Baru saja saya nak tolong, salah seorang dari mereka tanya pada saya, "Nak balik tak? Bagi saya pasport awak."

Saya terpinga-pinga dan berikan pasport kepadanya. Kemudian saya masuk bilik dan ambil beg. Kawan-kawan terpinga-pinga juga.

Saya masuk bas dan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz. Tiba di sana, saya lihat sudah ramai rakyat Malaysia yang menunggu arahan seterusnya. Saya merayau-rayau mencari tempat untuk caj telefon bimbit. Mujur jumpa.

Beberapa jam selepas itu, saya terlihat ada senarai nama yang diagih-agihkan. Katanya, siapa yang namanya ada dalam senarai tersebut perlu segera ke kaunter 8, 9 dan 10 untuk dapatkan boarding pass. Nama saya tak ada. Bersama 35 orang yang lain. Ertinya nama kami 36 orang tercicir dari senarai. Hanya dua orang lelaki.

Kata pegawai Tabung Haji yang berada di lapangan terbang, kami akan dimasukkan ke penerbangan seterusnya. Dia tawarkan SAR15 seorang untuk beli makanan tengah hari. Saya sempat berbual dengan rakyat Filipina yang bekerja di lapangan terbang tersebut dan minta dia tunjukkan di mana saya boleh dapatkan nasi dengan harga yang murah.

Dia bawa saya ke restoren di tingkat bawah. Dia kata di sini mahal. Saya jenguk pada menu, nasi SAR20. Kemudian dia bawa saya masuk ke belakang restoren. Tertulis di situ 'Staff Only'. Nasi di situ SAR12. Oh, terima kasih!

Gerombolan untuk penerbangan seterusnya telah tiba. Tapi nama kami tetap tak ada dalam senarai. Sebahagian sudah mula panik. Saya cuba membantu mana yang boleh.

Bila gerombolan tadi sudah terima boarding pass dan masuk ke terminal, kami 36 orang masih di luar. Saya bersedia untuk bermalam di lapangan terbang. Tapi tak bersedia untuk kembali ke asrama.

Akhirnya pegawai Tabung Haji mengatakan ada kekosongan untuk 28 orang. Lapan orang perlu tunggu. Saya katakan pada yang lain, "Saya stay. Carilah tujuh orang lagi." Tapi saya dapat balasan, "Memang dah potong pun nama awak."

Cet.

28 orang masuk. Tinggal lapan.

"Nak lagi tiga orang," kata pegawai. Saya termasuk yang tiga orang, sebab lima orang yang berbaki tak nak terpisah.

Tiba-tiba arahan bertukar, "Nak lagi lima orang." Maka yang berlima tadi masuk dahulu. Tinggal kami bertiga.

Saya cuma harap tidak dibawa pulang ke asrama.

"Ada satu kosong." Saya pilih untuk masuk. Tinggal dua beradik. Tentu mereka tak nak dipisahkan. Susah mak ayah nak datang dua kali jemput di lapangan terbang.

Ketika pemeriksaan keselamatan saya menjenguk keluar. Alhamdulillah, kedua-duanya dapat masuk. Lega. Semua kami 36 orang tak terkandas dan dapat pulang ke Malaysia malam ini.

Selesai solat jama' Maghrib-Isya', kami menunggu kebenaran untuk masuk. Tak berapa lama selepas itu kami menaiki bas menuju ke pesawat Saudi Airlines Boeing 747 dan berlepas meninggalkan Jeddah.

Rabu, 9 Februari 2011

Turun dari pesawat sekitar 10.00am. Ada sedikit ucapan dari yang terlibat dengan operasi ini dan kami dibenarkan keluar. Saya antara yang paling awal keluar. Terpegun. Lautan manusia sedang menunggu. Saya keluar dan mencari-cari wajah yang saya kenali. Kebetulan Maizatul buat liputan di sana. Kemudian berjumpa dengan Raof dan dia beritahu bahawa kerajaan Terengganu sediakan bas untuk pulang.

Lega.

Juga dapat RM100.

Saya tak menunggu lama untuk beli sim card Malaysia. Hanya DiGi yang ada.

Sebelum masuk bas, saya sempat ditemuramah Maizatul.

Kami bertolak sekitar 11.30am.

Bas bergerak agak perlahan. Ditambah dengan beberapa kali berhenti untuk solat dan makan.

Kami tiba di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu sekitar 11.00pm. Ayed datang jemput.

Alhamdulillah.

Ulasan

  1. owh, syukurlah semua selamat, adakah anda akan pulang ke mesir dalam janka waktu terdekat ini?

    BalasPadam
  2. Ikut jangkaan saya, paling lewat saya akan ke Mesir semula awal bulan April. Sebab Jun sudah ada peperiksaan.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman