Cerita lama

Yang lama jangan dilupakan. Kerana dari situ anda bermula. Untuk mengetahui, anda sebenarnya sudah berada di mana.



Kuatkan semangatku…
Posted on Januari 27, 2007
Hidupkan kehidupan yang idealis dalam diri… InsyaAllah, realiti akan ikut perlahan-lahan, sebagaimana yang kita impikan. Jadilah muslim yang baik. Yang mengutamakan agama daripada yang selainnya…
Di manakah kedudukan PERASAAN, AQAL dan IMAN? Yang mana satukah bisikan HATI, yang mana satukah pilihan AQAL dan yang mana satukah suluhan IMAN?
Carilah keyakinan itu. Keyakinan terhadap apa yang kamu percaya. Apa yang kamu percaya ialah apa yang kamu terima ia sebagai benar dalam diri kamu. Carilah keyakinan itu. Kerana dengan keyakinan itu, si bebal boleh berjaya, si miskin boleh kaya, si malang lebih hebat tuahnya.
Begitulah, hidup ini satu perjalanan untuk sampai ke satu destinasi. Setiap langkah perlukan perubahan ke arah yang lebih baik daripada hari ini. Selangkah demi selangkah. Sebabnya jalan kehidupan itu bukannya landai. Semakin jauh semakin tebal durinya dan semakin tinggi gunungnya. Semakin sukar nak bertapak, semakin sukar untuk berpijak. Kerana itu perlu sentiasa memperbaiki walaupun diri ini nampak macam sudah tak ada harapan lagi. Walau tersadung, paling tidak semangat mengubah meliputi kegagalan itu…
Harap-harapnyalah…

Islam cara hidup
Posted on Januari 27, 2007
Salam buat diri sendiri. Yang semakin hari semakin hilang kekuatan, untuk meneruskan sebuah kehidupan, yang sepatutnya dihadapi dengan penuh ketabahan.

Apa yang kamu inginkan dalam hidup ini?

Satu soalan yang sering kusoal pada diriku, tapi, jarang kujawab dengan serius. Sememangnya, aku sudah jarang serius kebelakangan ini. Mungkin kerana seriusku dihiasi dengan buruk laku dengan kawan-kawan… atau mungkin sememangnya aku sudah penat serius.

Allah tak pernah melupakan aku. Tak pernah melupakan aku sebagai hambaNya. Pintu rahmatNya takkan tertutup buatku, selagi mana nyawaku masih terperangkap dalam raga tubuh ini. Ini peluang. Ini peluang. Ini peluang.

Benar, aku pernah buat salah. Silap. Tapi, siapalah aku untuk sunyi dari kesilapan? Siapalah aku untuk menggagahkan diriku sendiri ke arah kebaikan secara sempurna? Siapakah aku untuk memacakkan kaki ini dikala badai berombak kencang? Tiada daya dan tiada upaya melainkan Allah sahaja…

Makanya, apakah yang aku lakukan selama ini? Perancangan demi perancangan… Adakah dibuat demi mengiyakan pernyataan ini? Mungkin… Mungkin benar… Aku buat perancangan yang teliti, usahakan sebaik mungkin dan kemudian disudahi dengan kegagalan, hanyalah semata-mata untuk mengetahui bahawa diri ini tidak upaya untuk berbuat sesuatu melainkan dengan izin Allah. Dan saat itu, iman semakin bertambah. Tapak semakin kukuh… dengan izinNya…

Kemudian, bagaimana pula sikapku tika berdepan dengan khayalan-khayalan masa depan yang mengasyikkan?

Tiada kepastian bahawa aku akan hidup esok… Bahkan tiada jaminan yang aku sempat untuk menikmati hidup ini buat beberapa minit lagi. Tiada jaminan. Yang ada hanyalah harapan. Moga-moga aku dipanjangkan umur dalam taat. Makanya, matikan angan-angan sebelum ia memakan potensi yang ada dalam diri. Otak yang tajam dan teliti sepatutnya digunakan untuk masa sekarang. Meneliti dan memerhati, bagaimanakah untuk mencipta hari yang terbaik, hari ini. Bukannya dengan memikirkan, bagaimanakah untuk mencipta hari yang terbaik di satu saat yang aku sendiri tidak tahu adakah aku sempat untuk menghadapinya atau tidak. Seolah-olah, perancangan untuk orang lain. Atau seolah-olah membina bangunan di dunia lain, sedangkan di waktu sekarang, tidur berbumbungkan langit… Mengejar fantasi dan tidak mengendahkan realiti. Sedangkan, tanpa realiti, masakan wujud fantasi?

Masa terus berlalu. Saat yang baru saja berlalu tadi, tak mampu lagi dikembalikan semula. Ia berlalu sebagaimana berlalunya angin. Terlalu bodoh untuk mengejarnya. Dan tetaplah tidak pandai untuk mengenanginya. Biarkan ia berlalu. Segalanya berlaku dengan penuh ketidakmampuan. Kesilapan yang utama ialah, meninggalkan iman untuk perasaan. Kian hari, kian hilang peranan iman dalam diri. Jangan begitu… Hidupkan ia kembali. Letakkan kembali ia di tapak pemerintahan tubuhmu. Moga-moga ia akan memujuk hati dan aqal supaya bersabar dan bertenang. Yang terpikulkan ini bukanlah sesuatu yang diluar batas. Dia tidak sezalim itu, bahkan Dialah Yang Maha Adil.

Apa yang kukejarkan sekarang? Aku ingin membentuk diriku sesuai dengan apa yang aku bayangkan. Seorang muslim yang baik hubungannya dengan Allah, dengan keluarga, dengan kawan-kawan dan dengan orang yang tidak dikenalinya. Untuk apa? Kerana Allah. Kerana padaku, itulah Islam. Padaku, Islam mampu membentuk seorang yang sempurna tingkahlakunya. Dan aku yakin, itulah yang sebenarnya. Padaku, belum benar-benar serius dengan Islam, andai belum baik tingkahlaku. Paling tidak pun, andai belum berusaha untuk perbaiki tingkahlaku, maka orang itu belum mengenali Islam dengan pengenalan yang benar.

Tak perlu berfikir terlalu panjang… Ia akan mempercepatkan proses penuaan. Anda telah faham matlamat anda, kejar ia. Rebut ia. Aku tahu, ini bukanlah definisi yang paling tepat. Tetapi, seandainya aku pernah berusaha untuk mendapatkan apa yang aku percaya, InsyaAllah, andai kupegang definisi atau matlamat yang lain, aku tidak kekok untuk berusaha. Kerana aku fikirkan, aku akan terus teraba-raba mencari kebenaran. Sungguhpun begitu, andai aku tidak berhenti mencari, Dia sendiri yang akan memimpinku. InsyaAllah. Bersangka baik dengan Allah, bersangka baik dengan hamba-hamba Allah.

Islam cara hidup. Islam cara hidup. Islam cara hidup.

Apa yang menanti di hadapan?
Posted on Januari 27, 2007
Kumenjangkakan yang terburuk…
… tetapi kuharapkan yang terbaik.

Teruskan berjalan!
Posted on Januari 29, 2007
Yang ghaib jangan disingkap,
yang telah ditaqdirkan jangan dipersoal.

Saat kujatuh
Posted on Januari 30, 2007
Duhai diri…
Hari ini, harimu begitu berseri
Segala urusan dimudahkan Ilahi
Kerut di muka tiada lagi
Mulut pun dengan rela berhenti memaki

Duhai diri…
Kugembira
Melihatmu berbahagia
Jauh dari berbuat dosa
Namun, dalam kegembiraan, kubimbang kau terleka…

Masa lalu mengajarku untuk berhati-hati
Saat ni’mat mencurah-curah datang
Kuawasi ia dengan berpesan
Bahawa ni’mat ini datang kerana di hadapan
Ada ujian besar dari Tuhan
Untuk menguji tahap keimanan
Oleh itu, bersedialah…
Jangan sampai kegembiraan memakan diri
Di kemudian hari
Kutakut kau sendiri
Yang akan rugi

Namun, ku waspada
Saat kau jatuh akan tiba
Andai saat itu sudah mendatangi
Maka, hadapilah dengan tenang
Usah kamu marah pada Tuhan
Juga jangan memaki diri
Terimalah ia sebagai taqdir Ilahi
Andai kamu lulus, maka kamu akan lebih kuat di masa hadapan
Andai kamu gagal, Tuhan tidak sezalim itu
Dia pasti akan kembalikan harimu
Pada waktu yang tepat
Saat ujian itu telah berakhir

Oleh itu
Selagi mana kamu masih mampu
Bertahan dan terus bertahan
Kerana ujian masih belum berakhir
Dan yakinilah ia akan berakhir
Dan setiap markah yang kamu perolehi
Akan kamu sedari
Saat kamu telah kembali
Kepangkuan Ilahi

Bahagia
Atau derita
Aku tak mampu memberi jawabnya
Kerana hanya kamu
Yang memberi keputusan buat dirimu
Bukannya aku

Senyumlah…
Posted on Januari 30, 2007
Senyum duhai diri
Apa yang akan terjadi, pastinya kan terjadi
Andai kau keliru apakah tugasmu
Berhenti, tenangkan fikiranmu

Andai sudah tertulis
Maka ia akan berlaku
Namun, yang membezakan antara yang gagal dan yang berjaya
Adalah bagaimana mereka menghadapinya

Itulah akhlak
Atau kamu lebih biasa membahasakanya sebagai sikap
Reaksi spontan
Hasil dari didikan yang matang

Persiapkan dirimu
Menghalusi perkara-perkara kecil
Kerna ia mengajar dirimu
Menghadapi perkara-perkara besar

Sambil itu, senyumlah

Memilih atau dipilih?
Posted on April 2, 2007
Andai kamu tidak memilih
Untuk meneruskan kehidupan
Untuk mencari apa yang akan diperjuangkan
Untuk membuat sesuatu yang boleh dibanggakan
Untuk mencari erti kehidupan
Untuk mencari erti perjuangan
Untuk mencari erti pengorbanan

Maka nasibmu akan dipilih
Masa depanmu akan dipilih
Hari mukamu akan dipilih

Ke arah baikkah ia?
Ke arah sempurnakah ia?
Ke arah perubahankah ia?
Ke arah kebahagiaankah ia?

Kamu tidak tahu
Kerana bukan kamu yang memilih
Kerana kamu memilih untuk dipilih
Kerana kamu lebih rela
Nasibmu ditentukan orang lain

Kerana itu
Pilihlah
Kerana hidup ini tidak sunyi daripada pilihan
Pilihlah berpandukan iman dan aqal yang matang
Bukan mengikut emosi dan perasaan
Yang tidak dikawal panduan Tuhan

Aku memilih
Memilih untuk jadi yang terpilih

Pabila menoleh ke belakang…
Posted on April 2, 2007
Pabila aku menoleh ke belakang, aku sedar bahawa aku bukanlah seorang yang kuat berusaha untuk mencapai sesuatu. Aku tidak suka bersusah payah namun aku suka dianggap sebagai seorang yang bersungguh-sungguh. Aku tidak suka membaca namun aku suka jika dianggap ulat buku. Aku kurang ilmu tapi aku suka dianggap alim. Aku malas beribadat anehnya aku suka dianggap abid.

Maafkanku teman. Aku lebih suka dipuji daripada bekerja. Aku mengambil bahan pewarna semata-mata ingin kelihatan cantik secara semulajadi. Sepatutnya aku melalui jalannya yang betul, mengikut fitrah kejadian… berusaha, barulah petik kemanisannya…

Aku takut untuk menghadapi hakikat, bahawa aku ini bodoh, malas, mudah putus asa, lambat faham, lambat ingat, sering silap dalam pemahaman, baran dll… Tapi, sampai bila akan aku biarkan diriku dihiasi dengannya? Sampai bila aku akan biarkan diriku kotor tanpa dibersihkan? Sampai bila aku akan biarkan kelemahan ini bergayut di segenap romaku?

Aku ingin jasadku ditanam dalam keadaan diriku bersih daripadanya. Aku ingin mengakhiri perjalanan hidupku tanpa mereka. Aku ingin perngakhiran hidupku semulia-mulianya… di bumi dan di langit… Sungguhpun aku tetap akan ditanam dalam keadaan yang kotor… setidak-tidaknya, pada diriku berbekas kesan-kesan usahaku untuk perbaiki keadaan…

Yang lemah.

Semangat yang tinggi
Posted on April 6, 2007
Kenapa aku selalu hilang semangat? Kerana itu yang aku perjuangkan, dan itu yang aku perasan. Aku sangat pentingkan semangat. Sangat pentingkan keazaman, sangat pentingkan kekuatan dalaman. Kerana kekuatan lain akan hilang ditelan masa, kekuatan lain akan lenyap setiap saat. Namun kekuatan dalaman, keazaman dan ketabahan tetap akan kekal bagi mereka-mereka yang tahu bagaimana memupuknya.

Aduhai diri… Saat dirimu keletihan dan hilang semangat, perbaharuilah ia dengan doa, membaca sirah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, sahabat, tabiin, tabi’ tabiin dan orang-orang yang soleh di seluruh dunia dan perhatikanlah keadaan umat sekarang yang sangat memerlukan kepada seorang insan yang tinggi semangatnya dan mampu meminjamkan semangatnya untuk orang lain kembangkan semangat masing-masing.

Ku tak punya daya yang lebih, ku tak punya kekuatan yang luarbiasa… Tetapi kutahu Dia mendengar permintaan hambaNya, maka aku pohon kepadaNya, penuhkan apa yang kosong, cukupkan apa yang kurang… Untuk aku memahami bagaimana untuk aku membantu agamaMu ya Allah!

Tiada daya dan tiada upaya melainkan daripadaMu, ya Allah…

Bagaimana menambah cinta kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam?
Posted on April 6, 2007
Hari ini 18 RabiuAwwal… Apakah yang telah bertambah dalam diri kita berkenaan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam?

Sama-sama renungkan…

Jangan lupakanku…
Posted on Julai 14, 2007
Tuhan, aku sering memungkiri apa yang aku katakan. Tapi, kutetap tidak berhenti berjanji, bahawa aku akan perbaiki diri ini. Tuhan, jangan kau lupakanku, walaupun aku sering melupakanmu. Pandanglah aku dengan pandangan rahmatMu, bukan dengan pandangan murkaMu. Bantulah aku hidupkan ingatanku padaMu.

Terima kasih Tuhan!
Posted on Julai 14, 2007
Terima kasih atas peluang untuk aku masih menghirup udaraMu saat ini. Terima kasih atas gelaran muslim yang aku pegang selama ini. Terima kasih atas kemuliaan zahir yang Engkau kurniakan buat diriku hingga ke hari ini…

… Sungguhpun kucalari segala ni'mat yang kau kurniakan dengan pelbagai bentuk kekufuran.

Aku ingin berubah Ya Rabb! Aku ingin berubah Ya Rabb! Aku ingin berubah!

Satu perubahan yang mampu mengesankan diriku dan teman-teman di sekelilingku. Kerana kutahu, andai aku bersendirian, aku pasti tewas!

Ampunkan aku… kerana terlalu banyak meminta, namun sedikit berusaha…


Kota kata
Posted on Oktober 24, 2007
Seharian kubermonolog sendirian. Melusuri hari-hari yang telah berlalu. Aku fikir, dengan cara ini, hatiku akan lebih hidup. Aku berbicara, berbual dengan diriku sendiri. Nakalku aku nasihat, jahatku aku tegur…
Membina bangunan yang roboh bukan hanya perlukan kata-kata dan semangat. Amal. Itu ubatnya. Amal.

Itu…
Posted on Januari 19, 2008
Kefahaman membawa kepada tindakan dan tindakan akan membawa kesan. Apabila semua dilakukan kerana Allah, maka segala kesedihan, kepayahan, kutukan dan cercaan akan terasa hilang. Allah tujuanku. Aku menulis bukan untuk membuatmu tertarik hati denganku… Aku menulis bukan untukmu memujiku. Cukuplah jika kamu mengenali yang mana benar dan yang mana salah… Yang mana yang akan membawa kepada kebenaran dan yang mana yang akan membawa kepada kehancuran. Kuterasa berdosa membiarkan sahabat-sahabatku terkontang kanting dalam pencarian. Walaupun aku pun sebenarnya masih mencari. Tapi, aku harus sedar, ada batas-batas yang perlu aku jaga. Ada janji yang perlu aku tepati. Ada pembalasan yang menanti. Sedarlah dan insaflah… Hati akan mati andai tidak disirami. Dan kuberharap, agar siraman itu akan sentiasa ada, dan bertambah dari hari ke hari. Hati ini tak lebih mahukan keampunanMu. Tapi, hati ini terlalu keras untuk menyatakannya apabila sendirian. Cukuplah setakat ini, buat peringatan hati yang malang. Tapi, aku percaya, hidup ini peluang. Selagi nafas masih boleh dihembus, itu tanda aku masih berpeluang.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Hari yang memenatkan

Memudahkan yang rumit