Bingung

Susunan taqdir Tuhan sentiasa mengagumkanku. Aku rasakan seperti baru sahaja berpenatan menghabiskan satu sesi peperiksaan yang menghancurkan segala keyakinan diri yang masih tersisa. Kini, seakan-akan dengan tiba-tiba aku terbaring dalam bilik yang gelap ditemani bunyi cengkerik dan unggas yang pastinya tak ada di Hayy Asyir.

Kejutkanku dengan segera andai ini mimpi!

Ini bukan kali pertama aku terasa bingung dengan percaturanNya. Bahkan banyak kali. Seakan-akan bersiri. Satu demi satu peristiwa berlaku, dengan tahap kebingungan yang berbeza; semakin rumit dan semakin melibatkan banyak hati.

Saat-saat seperti ini hatiku memekik kepada akal, "Apakah yang Dia cuba sampaikan?!"

Menepati ciri akal manusia yang terbatas, ia terdiam kerana bingung. Tak mampu untuk menyusun huruf dan memberi jawapan yang menenangkan hati. Perbendaharaan katanya masih terbatas, mungkin kerana pengalaman hidup juga belum cukup luas.

Tapi yang pastinya, ini bukan kali pertama.

Kebingungan-kebingungan sebelum ini selalunya terjawab dengan jawapan yang mudah, tapi penuh makna. Memuaskan akal dengan logik dan menenangkan hati dengan rasa aman. Dia di sebalik segala ujian. Dia di sebalik segala perancangan.

Sia-sia atau zalim bukanlah sifatNya. Itu selalunya sifat dan sikap kita.

Akal masih bingung mencari jawapan pada cerita yang bertimpa-timpa. Mencari hujung, tapi tak nampak bahagia. Terowong ini terlalu panjang dan gelap untuk diteroka. Tapi apakan daya, aku sudah berada di tengah-tengahnya.

Pilihan yang ada sama ada duduk dalam gelap menunggu jawapan atau bertatih perlahan-lahan mencari cahaya di hujung terowong.

Tak ingin zalim dengan menghukum bahawa seluruh hidup ini tiada yang menggembirakan, kerana hakikatnya ada. Tak ingin juga sia-siakan sejemput kebaikkan yang masih tersisa dalam genggaman, yang berjaya aku jaga dan aku simpan.

Andai ini satu pendakian, maka aku sekarang sedang kelelahan kerana sering jatuh. Mata berpinar, tangan dan kaki terasa kebas, hujung jari terasa pedih dan dada terasa sempit. Ini satu hentian dari hentian-hentian hidup yang banyak. Tempoh untuk memanjakan diri sekadarnya dengan apa yang mampu dicapai tangan, memanjakan akal dengan jawapan-jawapan sekadar ingin ia bertenang dan memanjakan hati dengan nada-nada puitis yang menghiburkan dan menguatkan.

Semua ini disengajakan atas dua keyakinan.

Bahawa Dia akan membuka jalan, sebagaimana sebelum ini Dia telah membuka jalan-jalan.

Dan bahawa gunung keredhaan Allah subhanahu wa taala itu tinggi dan di puncaknya ada kemuliaan. Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam dan para sahabat ridhwanullah alaihim ajmain sudah di puncak, melambai-lambai kepada kami di bawah dengan cerita-cerita syurga.

Aku yang di bawah teringin untuk bersama mereka.

Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

Ulasan

  1. Allah menguji hambaNya dari pelbagai sudut. Menguji mental fizikal dan lebih-lebih hati manusia yg melibatkan emosi. Maka di sinilah Allah melihat bagaimana kita berfikir menggunakan akal yg waras dan iman kita untuk hambaNya bertahan dengan kemampuan diri bagi menyusuri lorong yang kita anggap gelap itu atau kita akan berpatah balik dan terus mengalah. Yakin dan terus yakin apabila kita berada di satu jalan yang betul kerana Allah telah memberi jawapan kepada kita.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Hari yang memenatkan

Memudahkan yang rumit