Mengakhiri perjalanan; kisah 'the unsung hero', 'heroes in my life', 'reality check' dan 'air dicincang tak akan putus, maka cincanglah selalu'.
The Unsung Hero, Heroes in My Life
Tidak semua orang tahu semua cerita. Kerana kita cuma mampu berada di satu tempat pada satu masa.
Dalam kembara ini saya berjaya mengutip cerita-cerita baru tentang Allahyarham Tokwe. Datuk saya yang pulang ke rahmatullah beberapa bulan yang lalu.
Tak perlu saya kongsikan sekarang perincian cerita tersebut, tapi saya ingin tegaskan bahawa penting untuk kita mengenali asal-usul kita; bukan untuk dibanggakan hingga menghina orang lain, tapi supaya kita meneruskan prinsip dan amalan baik yang mereka dulu pegang dan buang jauh-jauh apa yang tidak perlu kita ikut, kerana kita tahu ke mana akhirnya kita.
Tokwe seorang yang berprinsip dan gigih.
Terselit juga kisah wira dalam hidup saya -- Baba -- yang setiap kali saya bandingkan zaman mudanya dengan zaman muda saya, hati akan mudah bergoncang, betapa saya tidak mampu menandinginya dari banyak segi. Atas sebab itu hingga kini saya sentiasa mendongak tinggi tatkala melihat Baba.
Dia kekal wira saya, selama-lamanya.
Reality Check
Menghabiskan waktu muda di Mesir memberi peluang kepada saya untuk berkembang dalam persekitaran rakan-rakan yang soleh dan pergaulan lelaki-perempuan yang minimum. Kelebihan yang saya kurang yakin wujud di persekitaran lain yang mungkin saya pergi.
Namun, perlu diingatkan selalu bahawa apa yang dinamakan sebagai 'hidup' itu ada di tanah air. Penting untuk selaraskan kembali pemikiran dengan tuntutan di Malaysia.
Dalam hal ini, faktor jauh dari orang tua melambatkan proses pembelajaran bagaimana sepatutnya tingkah laku kita sebagai seorang Melayu yang beradab dalam masyarakat.
Saya sedar, beberapa perkataan dan gaya bahasa yang biasa dituturkan di Mesir dengan kawan-kawan sebenarnya agak tidak sesuai dan canggung dalam lingkungan masyarakat dan keluarga saya. Mereka tak tegur, tapi yang ingin bersedia untuk belajar akan belajar dengan peka.
Air Dicincang Takkan Putus, Maka Cincanglah Selalu
Manusia dianugerahkan dengan ikatan kekeluargaan dan persaudaraan. Banyak orang menghargai anugerah ini, banyak juga yang mengabaikannya.
Kita sering meletakkan anugerah ini dalam situasi yang bahaya. Ibarat gelas kaca diletakkan dibucu meja. Bila gelas itu jatuh dan pecah, masing-masing menuding jari. Sudahlah gelas pecah, jari pula lenguh sebab menuding.
Banyak kali berlaku, kita terlebih sensitif dan banyak menaruh harapan tinggi pada keluarga dan sanak saudara. Sensitiviti dan harapan yang kita tak berani letakkan pada selain mereka kerana dengan orang lain, kita cuma perlu satu sebab kecil untuk jauhkan diri kita dari mereka tanpa rasa bersalah.
Tapi dengan keluarga dan sanak saudara, kita berani letakkan sensitiviti dan harapan yang sedemikian kerana kita tahu bahawa 'air dicincang tak akan putus'. Maka air ini akan berterusan dicincang, seakan mencabar kebenaran peribahasa itu.
Saya berani katakan, setiap wajah yang saya tatap sepanjang kembara ini adalah wajah yang basah dengan kasih sayang, dan saya dapat rasakan dari lubuk jiwa saya yang paling dalam.
Saya ucapkan jutaan terima kasih pada semua yang membantu kembara ini secara langsung atau tidak langsung dan maafkan saya atas segala yang mungkin melukakan perasaan sepanjang kembara pendek ini.
Semoga Allah mengikhlaskan semuanya, menggandakan ganjaran dan melupuskan dosa dan aib kita semua.
Amiin ya Rabb!
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone
Ulasan
Catat Ulasan