Barack Obama

2009 Five Presidents George W. Bush, President...Image by BL1961 via Flickr

Saya berminat untuk berbicara tentang Barack Obama, calon Presiden Amerika Syarikat dari Parti Demokratik yang telah memenangi Pilihanraya Presiden baru-baru ini dan bakal menggantikan George W Bush sedikit masa lagi.

Sekilas pandang, kemenangan beliau memberi sinar harapan baru bagi rakyat Iraq dan tahanan di Guantanamo Bay, tetapi tidak di Palestin.

Tapi, saya tidak ingin menulis dari sudut politik dunia. Saya lebih berminat dari sudut bagaimana Obama menggunakan Internet untuk membantu beliau memenangi pilihanraya ini. Bahkan ramai yang mengatakan bahawa penggunaan Internet yang berkesan merupakan kunci kemenangan beliau.

Umum mengetahui apa itu Youtube. Ia merupakan satu platform untuk sesiapa sahaja memaparkan video mereka untuk tontonan umum. Kempen Obama menerusi Youtube telah menarik minat 14.9 juta penonton yang tentunya lebih berkesan berbanding iklan di televisyen kerana di Youtube, penonton memilih sendiri apa yang ingin ditonton, berbanding iklan di televisyen yang lebih dianggap sebagai gangguan ketika menonton. Menerusi laman ini, pengunjung boleh menonton video yang sama berulang kali bagi memahami apakah mesej yang cuba calon sampaikan kepada pengundi.

Untuk mendapat liputan yang sama (14.9 juta) dengan beriklan di televisyen, seseorang perlu membayar USD47 juta, sedangkan di Youtube, tiada sebarang caj dikenakan. Namun, keburukannya ialah, sebarang kesilapan yang dilakukan oleh calon akan turut tersiar secara terus-menerus dalam laman ini. Ini bermakna, setiap calon perlu menjaga tingkah laku dan pertuturan mereka setiap masa. Malah, ada calon menyifatkan dirinya bagaikan berada dalam siri realiti TV 24 jam sehari dan 7 hari seminggu!

Selain Youtube, antara laman yang memberi sumbangan yang besar kepada kemenangan Obama ialah laman yang bercirikan social networking seperti Facebook dan MySpace. Pada awalnya, kempen Obama menerusi MySpace dilakukan secara tidak rasmi oleh salah seorang sukarelawannya yang secara tiba-tiba telah menarik 160,000 penyokong. Ini telah membuka mata mereka akan daya tarikan yang ada pada laman seperti ini dan seterusnya menggiatkan kempen menerusi laman web social networking.

Apa yang baiknya tentang laman social networking ialah, rasa kebersamaan penyokong dengan calon. Melalui laman ini, penyokong boleh berhubung dengan calon secara langsung juga dengan penyokong-penyokong yang lain. Maklumat-maklumat penting seperti tarikh mengundi dan lokasi peti undi juga boleh dikongsi dengan mudah dan cepat sesama ahli. Ia dilihat lebih bersifat peribadi berbanding e-mel yang bersifat lebih formal. Bahkan sikap terbuka dan bebas dari kekangan formaliti menarik minat pengundi-pengundi terutamanya golongan muda.

Obama juga telah mewujudkan sistem pengurusan maklumat beliau sendiri yang dinamakan sebagai my.BarackObama.com yang menyusun penyokong-penyokong beliau mengikut kawasan, membenarkan mereka menceritakan kisah-kisah hidup mereka dan kenapa mereka menyokong Obama, memberi ranking kepada ahli-ahli yang aktif dan pelbagai lagi manfaat setelah berdaftar di laman ini. Ia dilihat sebagai satu gerak kerja yang tersusun dan dirancang dengan teliti. Ada yang mengatakan bahawa ia telah mengubah landskap kempen politik di Amerika Syarikat.

Ternyata dengan cara ini, Obama telah berjaya membuat penyokongnya percaya bahawa mereka bukan sahaja bekerja untuk Obama, tetapi bekerja demi perubahan sebagaimana yang selalu dicanang oleh Obama dalam ceramahnya.

Pengundi-pengundi muda akan dihubungi melalui SMS, manakala pengundi-pengundi yang lebih dewasa dihubungi melalui e-mel yang ringkas. Menerusi Twitter, maklumat yang terkini dikongsi dengan umum. Setelah sukarelawan membuat kempen dari rumah ke rumah, mereka-mereka yang dikenalpasti sebagai pengundi yang berpotensi akan dihubungi selang beberapa hari melalui telefon untuk memberitahu maklumat pengundian.

Menerusi kempen melalui Internet, Obama telah berjaya mengumpul sebanyak USD1 bilion, 12 kali ganda berbanding apa yang berjaya dikutip oleh John Kerry pada tahun 2004. Satu jumlah yang besar dan tentunya telah membantu kempen beliau berjalan dengan lancar tanpa gangguan masalah kewangan seperti yang dihadapi oleh Hillary Clinton.

Kini, setelah memenangi pilihanraya, Barack Obama meneruskan usahanya memanfaatkan penggunaan Internet dengan menubuhkan laman Change.gov sebagai medium untuk kerajaan pimpinannya berkomunikasi secara terus dengan rakyat.

Di Malaysia, antara pemimpin politik yang dilihat mendahului dalam penggunaan laman social networking dalam kempen pilihanraya ialah Dato' Seri Anwar Ibrahim. Manakala, penggunaan blog meluas di kalangan pimpinan Parti Islam Semalaysia. Blog Dr. Mahathir pula berada dalam kelasnya yang tersendiri kerana berjaya menarik 1,000,000 pengunjung sebulan dan ratusan komen pengunjung untuk setiap artikel yang tersiar.


Reblog this post [with Zemanta]

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman