Jalan-jalan untuk Tetap pada Agama Allah


Wasail Ath-Thabat ala Dinillah, originally uploaded by rdhanz.

Pada mulanya saya keliru dengan kutaib ini. Isinya hampir sama dengan yang baru saya habiskan semalam. Contoh yang diberikan adalah sama dan masalah yang diputarkan adalah sama. Saya mula menjangkakan bahawa kutaib ini dicetak semua dengan judul yang berlainan.

Ternyata saya silap. Semakin jauh saya menyelami kutaib ini, semakin jelas perbezaannya. Mujur saya mendahulukan judul "Ath-Thabat hatta Al-Mamat" kerana pada saya, judul kali ini merupakan susulan kepada judul tersebut.

JIka siri-siri sebelum ini berjaya menjentik hati saya untuk membaiki hari-hari saya, judul "Wasail Ath-Thabat ala Dinillah" atau "Jalan-jalan untuk Tetap pada Agama Allah" ini bukan sahaja menjentik hati, malah turut memulas telinga, merotan belakang, mengikat kaki dan tangan dan kemudian merenjis kerengga pada badan pembaca untuk melakukan perubahan pada hari-harinya dan tetap dalam keadaan tersebut.

Agak melampau dan agak tidak menjadi, kan?

Tak apalah, tapi yang pasti, Ustaz Amru Khalid konsisten dengan gaya perubahan yang diminta, iaitu menjadikan Islam sebagai kerisauan utama dalam hidup; mengatasi kerisauan-kerisauan yang bersifat keduniaan semata-mata. Beliau konsisten dalam menanam sifat prihatin kepada nasib rakyat Palestin dan Iraq, juga konsisten dalam menggesa remaja terutamanya melazimi solat berjemaah dan wanita untuk kekal berhijab.

Menoleh ke belakang sejenak menyedarkan saya betapa jauh saya dari sifat-sifat yang digambarkan oleh Ustaz Amru Khalid. Ia membuat saya terfikir, bagaimana untuk saya menghiasi diri saya dengan sifat-sifat ini pada hari yang mendatang? Segalanya sudah disusun dengan baik oleh beliau, tinggal lagi pendekatan saya untuk melaksanakannya.

"Kita mendapati sebahagian manusia yang baik dan dipandang baik; kerana dia inginkan dari Allah Azza wa Jalla sesuatu atau matlamat yang tertentu; seperti inginkan kejayaan dalam peperiksaan, atau inginkan memperisterikan seseorang gadis, atau inginkan kekayaan dari Allah Azza wa Jalla... dll.

Maka jika Allah Azza wa Jalla mengurniakan apa yang dia kehendaki dan dia berhasil untuk mencapai matlamat dan keinginannya, dia kembali kepada keruntuhannya, kerosakkannya dan jatuh ke jalan yang sesat sekali lagi dan tiada daya dan upaya melainkan Allah.

Kita juga dapati sebahagian manusia yang berjanji setia untuk melakukan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran jika Allah Azza wa Jalla merealisasikan impian dan cita-citanya. Apabila terealisasi dia lari dari janji setianya.

Demikianlah antara gambaran hilangnya keteguhan. Allah Azza wa Jalla berfirman: "Dan di antara mereka ada orang yang telah berjanji kepada Allah, "Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian dari karuniaNya kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang soleh. Ketika Allah memberikan kepada mereka sebahagian kurniaanNya, mereka menjadi kikir dan berpaling dan selalu menentang (kebenaran). Maka Allah menanamkan kemunafikkan dalam hati mereka sampai pada waktu mereka menemuiNya, kerana mereka mengingkari janji yang telah mereka ikrarkan kepadaNya dan (juga) kerana mereka selalu berdusta. Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah mengetahui rahasia dan bisikan mereka, dan bahawa Allah mengetahui segala yang ghaib?"[1]

Saudaraku! Jika anda inginkan kejayaan dan keteguhan pada mentaati Allah, maka anda harus waspada daripada berjanji kepada Allah Azza wa Jalla kemudian mengingkarinya. Kerana yang demikian itu adalah antara bentuk-bentuk kegagalan dan tiada keteguhan."

[1] Surah At-Taubah: 75-78.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman