Langkau ke kandungan utama

Ayat-ayat pilihan (9/6/2011)

Surah Al-A'raf

7:155 - Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh orang lelaki dari kaumnya (untuk di bawa bersama ke Gunung Tursina) pada waktu yang telah kami tentukan. Maka ketika mereka digegar oleh gempa, Nabi Musa merayu dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaanMu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun.

7:156 - "Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu". Allah berfirman: "AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.

7:172 - Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".

7:176 - Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.

7:177 - Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka pula berlaku zalim kepada diri merela sendiri.

7:178 - Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dia lah yang beroleh petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi.

7:179 - Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

7:180 - Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

7:188 - Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".

7:204 - Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

7:205 - Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.

7:206 - Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud.

Surah Al-Anfal

8:27 - Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

8:28 - Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.

8:29 - Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.

Kredit kepada quran.com.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Rukun Islam dan rukun Iman

5 RUKUN ISLAM

1. Mengucap dua kalimah syahadah.
2. Mendirikan solat.
3. Menunaikan zakat.
4. Berpuasa di bulan Ramadhan.
5. Menunaikan haji di Mekah bagi yang mampu.

6 RUKUN IMAN

1. Beriman dengan Allah subhanahu wa taala.
2. Beriman dengan para malaikat.
3. Beriman dengan kitab-kitab suci.
4. Beriman dengan para Rasul.
5. Beriman dengan Hari Akhirat.
6. Beriman dengan Qada' dan Qadar.

Menentang kemungkaran itu kewajipan setiap muslim

Image via Wikipedia
1. Menentang kemungkaran dan melawan golongan yang sesat itu wajib secara ijma'.

2. Peringkat mencegah kemungkaran:

i) Tangan - Fardhu kifayah jika ramai yang tahu, fardhu ain jika tiada orang lain yang tahu.
ii) Lisan - Fardhu kifayah jika ramai yang tahu, fardhu ain jika tiada orang lain yang tahu.
iii) Hati - Fardhu ain, kerana membenci perkara maksiat itu wajib bagi setiap muslim. Manakala redha dengan maksiat itu dosa besar.

3. Harus tinggalkan menentang kemungkaran dengan tangan dan lisan bila yakin akan ditimpa kesusahan jika melakukannya dan dia tidak mampu untuk menanggung kesusahan itu.

4. Akibat meninggalkan perbuatan mencegah kemungkaran:

i) Tersebarnya kejahatan di dunia.
ii) Berleluasa maksiat dan perbuatan keji.
iii) Bertambah ramai orang jahat.
iv) Orang jahat akan menguasai orang baik.
v) Orang baik tidak mampu melawan orang jahat.
vi) Luput sifat-sifat kemuliaan.
vii) Berleluasa sifat-sifat keji.
viii) Ketika itu, semua manusia berhak untuk dimurk…

5 rukun khutbah Jumaat

Solat Jumaat fardhu ain ke atas muslim yang lelaki, merdeka, bermukim tanpa keuzuran yang dibenarkan syara' seperti sakit atau hujan.

Antara syarat solat Jumaat ialah dua khutbah.

Rukun-rukun khutbah Jumaat:

1. Puji-pujian kepada Allah subhanahu wa taala.
2. Selawat ke atas Nabi sallallahu alaihi wasallam.
3. Berpesan supaya bertaqwa.
4. Membaca ayat dari Al-Quran pada salah satu dari kedua-dua khutbah.
5. Doa kepada orang-orang mu'min pada khutbah kedua.

Wajib khatib berkhutbah dalam keadaan berdiri, suci dari hadas, menutup aurat dan wajib duduk antara dua khutbah dengan kadar lebih dari toma'ninah dalam solat dan tidak senggang masa terlalu lama antara dua khutbah.

Solat jemaah dan solat jenazah itu fardhu kifayah.

Solat hari raya, solat gerhana dan solat witir itu sunat muakkad. Begitu juga dengan solat sebelum dan selepas solat fardhu.

Solat dhuha dan tarawih itu sunat yang banyak kelebihan padanya dan ganjarannya sangat besar.