Bangsa agama

Sebelum kedatangan Islam, Melayu dikatakan menganut agama Hindu.

Mengubah kepercayaan seseorang adalah tugas yang sukar. Apatah lagi pegangan satu bangsa.

Sejarah popular hanya menukilkan secara ringkas usaha pedagang Arab datang ke Tanah Melayu yang membawa Islam bersama barang dagangan mereka. Bagi yang mengkaji dengan lebih lanjut akan temui kisah perjuangan Wali Songo yang berdakwah dengan pendekatan yang pelbagai.

Adakah semudah itu Melayu menerima Islam? Tak dapat dipastikan.

Ratusan tahun selepas itu, akhirnya Islam sebati dengan Melayu hinggakan tidak perlu disebut Melayu Muslim sebagaimana disebut Cina Muslim dan India Muslim. Ini kerana Melayu sudah diterima umum sebagai bangsa agama bagi Islam sebagaimana Arab dan Turki.

Mungkin kerana kita tidak tahu sejarah perjuangan orang lama, maka kita hanya terima seadanya apa yang kita punya. Tidak berusaha untuk mempertahankannya. Apatah lagi untuk mengembangkannya.

Cuma kadang-kadang kita melenting bila musuh mencucuk terlalu keras. Kalau mereka mencucuk dengan lembut, kita kata, "Tak mengapa, itu hak mereka."

Saya tidak menyeru kepada permusuhan yang melulu. Kewajipan berkenalan antara bangsa itu tidak digugurkan.

Apa yang ingin saya lontarkan adalah persoalan, adakah anda sayang agama anda?

Jika anda menjawab ya, maka kita berada pada haluan yang sama.

Hayati kata-kata Abu Bakar As-Siddiq ketika beliau menjadi Khalifah Islam yang pertama, "Adakah agama ini akan berkurang sedangkan aku masih hidup?"

Adakah Islam akan berkurang sedangkan kita masih hidup?

* Artikel ini diterbitkan di laman web ISMA-Mesir.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Hari yang memenatkan

Memudahkan yang rumit