Mari berfikir sejenak

Mari berfikir sejenak.

Bayangkan jika talian Internet tiba-tiba terputus. Mungkin akan sedikit serabut. Tetapi OK lagi. Komputer masih boleh digunakan. TV pun ada. Maka hidup tetap tak bosan. Bayangkan pula jika komputer dan TV tak ada. Telefon bimbit ada. Boleh hubungi kawan-kawan. SMS mereka. Atau main permainan yang sedia ada dalam telefon bimbit. Masih tak bosan.

Bayangkan pula telefon bimbit tak ada. Mungkin dah tiba masanya kembali kepada buku. Baca buku untuk hilangkan rasa bosan. Bayangkan pula jika tiada sebuah pun buku di sekeliling anda. Mungkin masa ini baru terdetik dalam hati anda untuk menulis. Paling tidak, ia menjadi hiburan buat diri sendiri.

Bayangkan jika tiada satu pun bahan untuk anda menulis. Tiada pen. Tiada kertas. Masih lagi boleh berjumpa kawan-kawan dan lakukan aktiviti bersama-sama. Bayangkan jika anda keseorangan tanpa kawan-kawan. Masih lagi ada keluarga. Mungkin tak boleh bermain sama-sama, tetapi masih boleh buat banyak perkara bersama-sama.

Bayangkan jika mereka juga tak ada. Anda keseorangan. Satu persatu deria anda hilang fungsi. Penglihatan, pendengaran, deria rasa, kemampuan untuk bercakap. Anda tak mampu mendengar apa-apa, melihat apa-apa, bercakap apa-apa, rasa apa-apa melainkan anda hanya mampu bermonolog dengan diri sendiri.

Apa yang anda akan lakukan?

Anda tahu di hadapan anda ada mahkamah pengadilan yang dahsyat. Apa yang anda boleh lakukan? Apakah membantu jika yang terngiang-ngiang di fikiran anda adalah kata-kata yang kotor? Apakah membantu jika yang anda hafal ialah bait-bait lagu yang melalaikan? Apakah membantu jika yang tergambar di benak adalah artis-artis luar negara yang selalu anda tonton? Apakah membantu jika anda hanya mampu mengulangi dialog-dialog kartun, filem dan drama? Apakah membantu jika memori yang tersisa adalah kenangan anda berhibur dengan kawan-kawan tanpa batas?

Maka, apakah yang sebenarnya membantu kita saat itu?

Kita kembalikan semula deria-deria kita. Alhamdulillah, kita masih mampu melihat. Kita masih mampu mendengar. Kita masih mampu bertutur. Kita masih mampu menyentuh. Maka, apakah peranannya?

Lihat di sekeliling. Masih ada teman-teman. Masih ada segala kemudahan. Jauh di sana masih ada keluarga yang menunggu. Segalanya masih ada, maka apakah peranannya?

Ada orang dapat hasilkan yang banyak dengan sumber yang terhad. Ada orang tak dapat hasilkan apa-apa walaupun bergelumang dengan sumber yang banyak.

Semoga Allah Subhanahu wa Taala memimpin kita keluar dari kesempitan kepada kelapangan, menjadikan kita hambaNya yang beriman dan beramal soleh, yang memberi manfaat kepada orang lain, yang baik akhlaknya, kuat ibadahnya, indah muamalahnya, disenangi makhluk di dunia dan di langit.

Amiin ya Rabb!

Ulasan

  1. Allah...kita ini sering lupa dan lalai...Ya Allah..ampunkan kami semua..amin

    BalasPadam
  2. Ya Allah..tempatkan kami di kalangan hambaMu yg soleh..

    BalasPadam
  3. @Bintun Qamar: Amiin ya Rabb!

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman