Satu lagi tazkirah buat hari ini

Sementara menunggu solat Isya', tulis blog sekejap. Rugi kalau tertidur sekarang. Malam pendek. Isya' agak lewat dalam masa yang sama Subuh agak awal. Sebab itu ada yang memilih untuk berjaga malam dan tidur selepas Subuh. Saya tetap kena tidur malam. Berjaga ada kesan sampingannya yang negatif.

Lapang, bukan lapan*

Dalam kelapangan hari-hari selepas imtihan, rupa-rupanya pelajar perubatan baru saja memulakan imtihan bertulis mereka. Sebelumnya imtihan amali. Selepas ini imtihan syafawi. Sungguhpun bosan, sepatutnya saya hargai kelapangan yang ada. Sememangnya kehidupan seperti ini. Ada waktu bosan sangat-sangat, ada waktu sibuk sangat-sangat. Hargai kedua-duanya dan anda akan dapat rasai nikmatnya. Bukannya dengan mengeluh sibuk di kala sibuk, mengeluh bosan di kala bosan. Sungguhpun diciptakan manusia itu penuh keluh kesah, namun ia fitrah yang negatif. Untuk dihindari.

Mengeluh

Teringat pengalaman di Yaman. Sesetengah kita senang mengeluh dengan kata-kata, "Aaaah..." Atau yang terpengaruh dengan cerita Korea, "Aisyy..." Namun, Habib Omar bin Hafiz, ketika membaca kitab Awariful Maarif di sebelah petang selepas Asar, dia selang selikan dengan "Allaaaah..." Seakan-akan mengeluh, tetapi terselit zikir di situ. Kalau macam ni lah gayanya, mengeluh pun dapat pahala. Allaaah...

Soalan dan tazkirah

Kelebihan akal yang diberi Allah kepada manusia akan dipersia-siakan jika daya intelek tidak diuji. Maksud saya, jika tiada proses bertanya dan ditanya, ia agak melemahkan minda. Otak akan hanya digunakan untuk melakukan hal-hal rutin. Tidur-makan-buang-tidur. Namun, apabila ditanya, barulah otak diuji dan dicabar.

Hari ini saya ditanya soalan yang menarik. Yang bertanya bimbang akan melukakan hati saya jika bertanyakan akan hal ini. Namun, saya sedikitpun tidak terjejas. Bahkan mengalu-alukan soalan sebegini. Ia bagaikan muhasabah yang perlu saya buat setiap hari. Saya jawab dengan isi-isi yang sememangnya saya tahu, namun tidak terkeluar sehinggalah saya ditanya hari ini. Dalam hati saya tersenyum sinis. Terpukul dengan kata-kata sendiri.

Rentetan

Bagaikan rentetan dari peristiwa tengah hari tadi, sepulangnya saya ke rumah, saya dapati salah satu dari komponen komputer saya rosak. Berlaku kerana kemalangan yang tidak disengajakan. Yang melakukannya meminta maaf. Entahlah kenapa tidak terdetik dalam hati untuk marah atau yang seumpama dengannya. Bahkan sekali lagi tersenyum sinis kepada diri sendiri. Satu lagi tazkirah buat hari ini.

Alhamdulillah.

* Lapan disebut lapang dalam loghat Terengganu.

Ulasan

  1. terkesan2..huuu~

    orang kelantan sebut lape kan..
    jangan jadik lapo sudah..hehe

    BalasPadam
  2. @Munawwar: Terkesan? Alhamdulillah. Kalau lapar pun, orang Kelantan tak sebut "lapo", mereka sebut "lapa". Hehe.

    BalasPadam
  3. Oleh itu, apakah perbezaan di antara sebutan nombor lapan dengan masa lapang bagi orang Terengganu?:)

    BalasPadam
  4. @Cucu Dagang: Orang Terengganu tak tanya, "Kamu lapang tak hari ini?" Orang Terengganu tanya, "Mung pree dop hari ni?"

    BalasPadam
  5. phewiit..cantek tu bahase.tazkirah best:D

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman