9HCCM: Prolog
Image via Wikipedia
Sebulan saya di Malaysia, saya dapati jadual harian saya agak padat. Terutamanya pada waktu petang. Terikat. Sedangkan cuti saya ada sebulan lagi. Takkan habis macam itu saja?Maka saya perlu rancangkan sesuatu untuk jadikan cuti saya kali ini lebih bermakna. Berbeza dengan cuti-cuti sebelumnya. Macam sudah ketagih mengembara, saya pilih untuk mengembara sekali lagi. Kali ini di Malaysia.
AidilFitri baru-baru ini, A.chik di Pulau Pinang dan C.su di Johor ajak saya ke rumah mereka. Maklumlah, balik jarang-jarang, paling tidak saya usahakan untuk ziarah rumah mereka sekali sebelum berlepas ke Mesir. Biasanya saya akan ke rumah mereka pada hujung minggu dan secara berasingan. Pada saya, cara ini merugikan masa dan melibatkan kos yang tinggi. Untuk itu saya rancangkan satu perjalanan yang melibatkan kedua-dua destinasi tersebut; Pulau Pinang dan Johor.
Saya buka laman web syarikat bas ekspress Transnasional untuk buat tinjauan harga. Saya cuba banyakkan destinasi sebagai gambaran awal berapakah kos jika saya benar-benar berbuat demikian. Untuk tiket bas sahaja, ia melibatkan kos sekitar RM150. Kalau perjalanan mengambil masa 10 hari, saya perlu sediakan RM100 lagi untuk makanan. Setelah segalanya jelas, saya nyatakan hasrat saya kepada Mama dan Baba.
Alhamdulillah! Permintaan saya ditunaikan! Kebetulan saya baru saja dapat bayaran kerja terjemahan yang saya tolong kawan saya, dapatlah saya tampung separuh kos seluruh perjalanan.
Sebelumnya ada saya rancang perjalanan ini beberapa kali. Tapi terpaksa dibatalkan. Tarikh juga dianjakkan beberapa kali. Bahkan saya bertolak dalam keadaan yang tidak begitu bersedia. Saya kuatkan juga keinginan saya. Saya tahu, saya tiada peluang kedua untuk sesuatu yang seperti ini.
Ulasan
Catat Ulasan