Sepetang bersama Ally
Sepetang saya habiskan masa untuk menonton rancangan Ally di laman web TV3. Baru ada enam episod yang pada saya, sangat menarik. Temanya santai tetapi bermanfaat. Berikut adalah ulasan ringkas untuk setiap episod:
Episod 1: Berbincang tentang perbelanjaan. Topik yang sesuai dengan situasi ekonomi semasa yang terumbang-ambing akibat krisis yang berlaku di Amerika dan Eropah. Tiada perkara baru yang didedahkan. Hanya sekitar tabiat berbelanja yang mengikut perasaan di kalangan wanita khususnya yang telah banyak kali diperbincangkan umum.
Episod 2: Topik perbincangan adalah berkenaan dengan sekolah. Tajuk ini membuat saya terkenang kembali kenangan di sekolah rendah dahulu. Antara kandungan yang menarik perhatian saya ialah tentang perbezaan pendekatan guru dahulu dan pendekatan guru sekarang. Menurut guru sendiri, bukan mereka memilih untuk berlembut, tetapi mereka sebenarnya mengelak dari menggunakan murid-murid sebagai tempat untuk melepaskan tekanan harian. Satu sudut pandangan baru yang belum pernah saya dengar sebelum ini.
Episod 3: Tentang industri muzik tanah air dan cabaran mereka yang terbabit dengan kebanjiran lagu-lagu Indonesia yang menenggelamkan lagu-lagu Malaysia di corong radio tempatan.
Episod 4: Isu bola sepak Malaysia yang meletakkan 2018 sebagai matlamat untuk layak masuk ke Piala Dunia. Satu matlamat yang dilihat tinggi dan mustahil oleh jurulatih dan peminat bola sepak.
Episod 5: Isu Bahasa Malaysia dan bahasa rojak. Perbincangan kali ini banyak menyedarkan saya akan pejuangan bahasa yang sentiasa diteruskan oleh pejuang bahasa. Namun, dengan kehadiran kartunis Ujang membuat saya agak bias kerana saya memang meminati industri kartun. Akhirnya saya dapat satu resolusi bahawa saya sepatutnya menggunakan bahasa baku yang fasih dalam penulisan dan pertuturan formal saya. Namun, tidak menghalang diri saya untuk menggunakan bahasa santai dalam perbualan agar wujud kemesraan dan persefahaman. Episod ini adalah episod pertama rancangan ini yang saya tonton. Sangat mengesankan!
Episod 6: Tetamu jemputan adalah Dato' Jamali Shadat dan Afdlin Shauki. Topiknya berkisar sekitar isu lawak di Malaysia. Ke manakah arahnya? Sebelum ini saya banyak menonton klip video lawak dari Barat dan nak tak nak memang banyak unsur lucah yang diselit dalam lawak mereka. Di Malaysia pula, lawak yang dipertontonkan adalah lawak yang membodohkan orang. Kebetulan saya dan kawan-kawan baru saja ditegur kerana terlalu cenderung untuk membuat persembahan yang melucukan apabila diberi peluang. Yang dituntut adalah persembahan yang mendidik dan memberi maklumat, tanpa unsur lawak yang membuat orang terlupa akan mesej yang cuba disampaikan. Kebetulan. Maka, perbincangan ini saya ikuti dengan teliti dan saya berpuas hati dengan lontaran idea dan pandangan yang diberikan.
Semoga kita semua beroleh manfaat dari perkongsian ini.
Rumah Sewa 700
Sedikit perkembangan terbaru tentang Rumah Sewa 700. Kebanyakkan kitab-kitab milik F dan S telah dipindahkan ke rumah baru masing-masing. Saya pula baru saja memunggah kotak-kotak untuk melihat perkakas-perkakas yang ada. Banyak benda-benda kecil yang saya jumpa.
Oleh kerana tengah hari tadi saya baru saja membeli pemutar skru baru, maka banyaklah barang yang dibuang skrunya pada petang ini. Buka skru, kemudian pasang semula.
Saya membuka peluang kepada sesiapa yang berminat untuk mengambil alih rumah ini. Sesiapa yang berminat, boleh hubungi saya melalui blog ini atau melalui e-mel dan YM. Juga ada perkakas-perkakas yang ingin dijual yang akan saya umumkan dalam blog ini.
* Episod akan datang Ally akan bercerita tentang cinta. Cinta? Fuyo!
Ulasan
Catat Ulasan