Gerak Usahawan
Saya menongkah arus petang itu. Ramai yang sudah pulang, sedang saya masih lagi menapak untuk masuk ke dalam dewan. Mujurlah saya sudah tahu yang majlis akan berakhir pada jam 5.00 petang. Maka, saya gagahi juga untuk masuk walaupun sudah terasa cuak.
Untuk sejam yang pertama, saya kehilangan punca, kenapa saya hadir ke sini. Dua kali saya mengelilingi ruang pameran, saya mula terasa untuk pulang. Bagi saya, tiada apa yang menarik. Namun, tetap saya saya berjalan-jalan sambil mencari wajah-wajah yang saya kenal.
Tak banyak. Hinggalah saya selesai makan tengah hari di sana. Selepas itu, seorang demi seorang muncul. Rupa-rupanya mereka sedang berada di dalam dewan untuk mendengar forum yang sedang berlangsung ketika itu. Patutlah lengang...
Saya masuk ke dalam dewan untuk mendengar. Tetapi tidak lama kerana kemudian saya keluar untuk solat Asar. Selesai solat Asar, suasana di ruang pameran berubah. Ruang pameran mula dipenuhi pengunjung. Saya tidak melepaskan peluang tersebut untuk bermesra dengan kawan-kawan.
Rata-rata yang menyertai pameran ini mensasarkan mahasiswa tahun akhir dalam pengajian, dan rata-rata membawa produk berkenaan perniagaan. Sama ada menawarkan pinjaman untuk modal, francais, khidmat penjenamaan, dll.
Apa yang lebih menarik ialah bila berkongsi maklumat dengan peserta yang mengikuti program sejak pagi lagi. Semuanya berbincang tentang keusahawanan dan sedang berfikir untuk memulakan perniagaan.
Cuma, program ini tentunya lebih hebat jika lebih banyak syarikat yang menyertai pamerannya. Tak adalah cepat sangat saya terasa bosan.
Apa yang menariknya, demi memudahkan para peserta, khidmat bas disediakan secara besar-besaran untuk pergi dan pulang. Saya sangat menghargai khidmat seperti ini, lebih-lebih lagi untuk pulang kerana selain faktor kegelapan malam, kawasan itu juga agak tidak strategik untuk menunggu pengangkutan awam untuk ke Asyir; tempat di mana ramai penuntut Malaysia berada.
Selesai makan, kami beramai-ramai menaiki bas yang telah disediakan mengikut destinasi masing-masing. Pada saya, program ini sangat sesuai dijalankan di sini kerana bumi Mesir ini memang subur dengan usahawan-usahawan, dan dengan adanya program seperti ini akan mempelbagaikan perniagaan dan memudahkan mereka untuk mendapatkan modal.
Program akan bersambung esok (1 Disember 2008) dan akan bergerak ke Iskandariah pada 3 Disember 2008.
* Layari galeri gambar saya untuk gambar-gambar sekitar program.
Ulasan
Catat Ulasan