Blogging to Unblock

Sebelum ini saya banyak membuat analisa ringan terhadap blog-blog yang berteraskan perniagaan. Jika saya teruskan, mungkin ia akan memberi gambaran bahawa blog ini adalah blog perniagaan. Untuk itu, kali ini saya akan menulis tentang sebuah blog yang dikatakan mencatat rekod dunia. Chedet.cc.

Setelah Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia, dan tatkala dia melihat kelemahan pada pentadbiran penggantinya Dato' Seri Abdullah Badawi dia mula memberi kritikan yang pedas terhadap kerajaan. Tindakkannya ini memaksa kerajaan mengambil keputusan untuk menyekatnya dari muncul dalam media arus perdana dan memulaukannya dari majlis-majlis yang penting.

Ruang untuk bersuara

Untuk memberi ruang untuk dia bersuara, dia mulakan sebuah blog yang dinamakan CheDet -- nama pena yang digunakannya untuk menulis dalam akhbar sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Hasilnya, setiap bulan, blog CheDet menerima sejuta kunjungan dan tidak kurang dari 500 komen untuk setiap artikel yang disiarkan. Ada yang menyatakan bahawa inilah rekod dunia dalam jumlah kunjungan yang paling banyak untuk sebuah blog peribadi. Yang menariknya, tiada sebarang promosi berbayar yang dilakukan. Hanya sekadar berita mulut sahaja.

Format tersendiri

Apa yang lebih menarik ialah format tulisannya. Ia berbentuk isi-isi penting yang diberi nombor. Seakan-akan surat rasmi yang sudah semestinya ringkas dan padat. Secara konsisten format ini digunakan. Malah, ia turut mempengaruhi blogger lain dan mereka namakannya 'menulis blog ala CheDet'.

Blog ini merupakan blog dwibahasa. Artikel yang relevan akan disiarkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Sungguhpun setiap artikel menerima lebih 500 komen, tidak semua komen berkaitan dengan artikel yang disiarkan. Kebanyakkannya hanya menyatakan sokongan dan mendoakan kesihatannya.

Blogging to Unblock

Setelah beberapa bulan menulis dalam blog ini, Tun menerbitkan sebuah buku yang merupakan kompilasi kepada artikel-artikelnya dalam blog ini. Judulnya 'Blogging to Unblock' -- sebuah buku yang diterbitkan dalam dua bahasa. Perubahan yang terkini yang dilakukan ialah dengan memasang ruang iklan pada blog tersebut pada kadar harga yang agak tinggi.

Ahli politik sepatutnya tidak memandang remeh kepada blog. Sepatutnya setiap ahli politik memiliki blog masing-masing untuk memberi kefahaman kepada masyarakat. Jika tidak mampu menulis, tiada salahnya jika mengupah orang lain untuk menulis. Akan datang, kita akan melihat beberapa buah blog ahli politik yang lain, insyaAllah.


Reblog this post [with Zemanta]

Ulasan

  1. madhan- bukan blogging to block..
    blogging to unblock..
    :)

    BalasPadam
  2. Oh... Major mistake ni. Terima kasih kerana tegur.

    BalasPadam
  3. salam
    kakyong pun follow blog tun..

    BalasPadam
  4. Waalaikumussalam.
    Kalau ada apa-apa isu hangat di Malaysia, blog CheDet antara yang saya buka untuk baca sendiri reaksi Tun.

    BalasPadam

Catat Komen

Catatan popular daripada blog ini

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman

Cara meninggalkan komen di blog