Meredah Teluk Aqabah

Ahmad keluarkan bekal yang dia bawa. Nasi daging. Sudu tak cukup, maka kami sepakat makan menggunakan tangan. Ahmad mensyarahkan kelebihan makan dengan tangan dan kelebihan menjilat jari selepas makan. Alhamdulillah, cukup untuk alas perut.

2.30pm: Saya berlegar-legar di dalam kapal dan dapati beberapa orang sedang solat. Saya kemudiannya ke berwudhu' di bilik air dan solat beralaskan kain tuala. Lantai panas. Tak sanggup saya sujud tanpa alas.

3.30pm: Ahmad meminta saya menjenguk kaunter penyerahan pasport dengan Hazim. Tadi ramai orang. Mujur tak ramai seperti sebelumnya. Kami berdua selesaikan urusan pasport kami dan kemudian giliran Ahmad. Alhamdulillah, Ahmad memang tahu selok belok kapal ini.

Di luar kapal masih ada satu barisan panjang menunggu giliran untuk masuk. Saya cuba untuk tenangkan fikiran. Seorang penumpang tunjukkan pada saya kapal laju yang sedang berhenti di pelabuhan.

"Itu kapal laju yang bertolak pagi tadi. Dah pulang ke pelabuhan."

Kapal laju sudah pulang dan kami masih di sini.

4.00pm: Kapal mulai bergerak. Kami bertiga mencari posisi terbaik untuk tidur. Ahmad dan Hazim melunjurkan kakinya. Saya meringkuk seperti bayi dalam kandungan. Saya memang tak ada masalah untuk tidur. Saya boleh tidur dalam pelbagai keadaan; terlentang, meniarap, mengiring, bersila, tongkat dagu, malah ketika baru-baru ini dikehendaki berjaga di tengah malam dengan kawan-kawan, saya belajar tidur berdiri. Dahi dilekatkan pada dinding dan badan dibongkokkan sedikit dan saya tertidur walaupun sebentar.

Tak terasa yang kami sedang bergerak. Di luar, saya dapat nikmati pemandangan yang sangat indah. Lautnya sangat biru dan gunung-ganang di sekeliling berwarna coklat diselimuti kabus. Di sebelah kanan kapal ialah Saudi dan di sebelah kiri kapal ialah Mesir. Kami sedang meredah Teluk Aqabah. Ia sebahagian dari Laut Merah. Ahmad sedang nyenyak tidur. Hazim berlegar-legar dalam kapal seperti saya. Ini kali pertama saya naik kapal sebesar ini. Sebelum ini pernah naik bot penambang dan bot laju ke Pulau Perhentian. Saya ingin nikmati perjalanan ini.

Namun dalam hati saya terdetik rasa risau. Saya sudah sehari terlewat!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Hari yang memenatkan

Memudahkan yang rumit