Tidur di luar?

11 Ogos 2009

Selesai solat saya tunggu Tarmizi di biliknya. Barang-barang semua saya dah kemaskan. Tak lama kemudian Tarmizi muncul dan ajak makan nasi.

Ada dua jenis nasi yang Tarmizi beli. Satu nasi yang dimasak dengan susu masam. Saya sangat berhati-hati dengan benda masam. Lebih-lebih lagi dalam perjalanan seperti ini. Yang satu lagi nasi maqlubah. Yang ini pernah saya rasa di Restoren Hadramaut, Mesir. Saya pilih nasi maqlubah. Tapi saya tak boleh makan banyak, Faiz kata kereta sudah menunggu di bawah.

2.30pm: Seperti semalam, kereta prebet sapu. Selain Faiz ada dua juniornya ikut serta; Hadi dan Hafiz. Kereta meluncur laju dan berhenti isi minyak. Kemudian berhenti sekali lagi untuk urusan pasport. Kami ambil peluang itu untuk tukarkan wang kami ke matawang Syria. Perjalanan diteruskan.


2.50pm: Tiba di sempadan Jordan-Syria. Di sini saya perlu bayar cukai keluar sebanyak JD5 (RM25). Orang agak ramai, maka urusannya agak lambat.

3.15pm: Saya hubungi kawan saya di Syria. Akhirnya kami masuk ke Syria. Namun kami perlu lapor diri di sempadan Syria-Jordan. Kami dikehendaki mengisi borang yang agak dipungut apabila keluar Syria nanti. Alhamdulillah, segalanya lancar. Mujur saya pilih untuk pergi dengan Faiz. Agaknya kalau saya sendirian susah juga nak selesaikan urusan masuk sempadan.

Kami terus menuju ke Damsyiq, ibu negeri Syria. Damsyik juga bandar yang besar. Kami diturunkan di satu tempat dan Faiz bawa kami naik servis (van) dengan bayaran SP10 (RM0.70) seorang. Kami turun dan menuju ke dawwar (bulatan) Bab Musolla. Di situ saya berjanji dengan kawan saya.

Agak jauh juga kami berjalan. Saya hantarkan lagi sms kepada kawan saya dan nyatakan bahawa saya sudah sampai di Damsyiq dan sedang berjalan menuju Bab Musolla. Aneh, tiada balasan.

Sampai di sana, tiada muka Melayu yang sedang menunggu. Saya ke hulu ke hilir mencari penyelesaian. Mungkin sms saya tak sampai. Saya tak nak susahkan Faiz dan kawan-kawannya.

6.30pm: Saya nampak ada seorang Melayu bersembang dengan Faiz. Dia akan tunjukkan rumah kawan saya dan Faiz boleh bergerak menuju destinasinya. Setibanya di rumah kawan saya, dia memohon diri. Malangnya kawan saya tiada di rumah. Yang ada hanya kawan serumahnya. Saya dengan segan silu masuk dan berkenalan dengan semua yang ada.

7.30pm: Saya dihidangkan dengan minum petang. Tak lama selepas itu azan Maghrib berkumandang. Saya nyatakan keinginan saya untuk menggunakan Internet selesai solat nanti. Ammar, salah seorang ahli rumah itu setuju untuk tunjukkan saya cyber cafe. Kami solat dan kemudiannya menuju cyber cafe.

Di sana, saya agak terkejut dan pelik kenapa saya tak boleh buka laman web yang biasa saya buka. Ammar kata kerajaan Syria sekat beberapa laman web seperti Blogger, Facebook dan Youtube. Namun tetap ada cara untuk membukanya iaitu dengan menggunakan laman web proksi. Laman web seperti Privax sangat membantu dalam situasi seperti ini.

Ammar pulang dahulu. Saya yakin boleh cari jalan balik.


10.30pm: Selesai urusan di cyber cafe, saya menuju ke kedai makan. Saya pilih syawarma SP50 (RM3.50). Ia roti yang digulung dengan inti daging beserta sayur. Tak sangka SP50 itu banyak. Kalau saya tahu saya cuma beli SP35 (RM2.50) saja. Untuk membantu saya habiskan syawarma tadi saya minum air berkabonat. Di Syria ada banyak jenama air berkabonat buatan Syria. Saya kagum kerana di tempat lain sukar untuk saya cari alternatif kepada barangan keluaran Coca-Cola. Di sini sangat banyak.


11.00pm: Saya berjalan pulang. Apabila susah terasa sesat, saya tanyakan penduduk setempat di manakah Masjid Abu Wafa -- masjid tempat saya solat tadi. Dari sana saya sudah ingat jalannya.

Beberapa kali saya ketuk pintu namun tiada yang membukanya. Aduh, takkan nak tidur di luar!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Hari yang memenatkan

Memudahkan yang rumit