Selat Bosporus

16 Ogos 2009

5.40am: Saya bangun agak lewat pagi ini. Mungkin kepenatan setelah seharian berjalan semalam. Selesai solat saya layari Internet untuk elakkan diri dari tidur semula. Banyak juga yang perlu saya catatkan dalam blog.

Kawan saya cadangkan saya meredah Selat Bosporus. Cadangan yang baik. Ia akan memakan masa selama enam jam. Saya pasti pemandangan yang indah sedang menanti.

8.40am: Saya bertolak dari rumah agak awal. Tapi terpaksa menunggu agak lama di hentian bas. Saya menunggu bas 43r yang membawa saya dari Rumeli Hisarustu ke Kabatasy. Bas agak lengang. Dari Kabatasy saya naik tram ke Eminonu yang telah saya ziarahi semalam. Tempat adanya Spice Bazar.

Sampai sahaja di Eminonu, saya melintas jalan melalui laluan bawah tanah dan menuju ke jeti dan beli tiket feri pergi-balik. TL20 (RM40). Berpinar sekejap mata melihat harga yang terpapar. Sebabnya, dalam buku panduan yang tertulis ialah TL7.50 (RM15). Dua kali ganda lebih. Oleh kerana saya tiada rancangan lain, saya teruskan juga. Bismillah.

9.45am: Saya masuk ke ruang menunggu. Setakat ini pengalaman saya dengan pengangkutan air agak buruk kerana terpaksa menunggu lama.

Setelah lama menunggu akhirnya feri tiba. Kelihatan kelasi dengan bergaya menjalankan tugas. Saya tak tunggu lama untuk dapatkan tempat di tingkat dua bahagian belakang. Feri bergerak dan saya mula menangkap gambar. Sememangnya pemandangannya indah. Di belakang saya kelihatan masjid besar di Eminonu. Di depan saya bukit-bukit yang dipenuhi dengan rumah-rumah. Di celah-celah rumah kelihatan menara-menara masjid yang tirus hujungnya. Sememangnya masjid banyak di sini. Tak hairanlah apabila masuk waktu solat, azab bergema dari segenap penjuru.

Tiba-tiba ramai berkerumun di sebelah belakang feri. Ada ikan lumba-lumba! Saya cuba untuk menangkap gambar, namun sayang, mereka tak lama. Hanya sekejap mengikut feri. Sangat menakjubkan!

12.15pm: Kami tiba di hentian terakhir. Alhamdulillah. Semua penumpang turun dan kami akan bergerak semula jam 3.00 petang. Kami punya banyak masa untuk dihabiskan di sini.

Kawasan ini dipenuhi dengan makanan laut. Tapi mahal! Kebetulan saya perlu ke tandas. Kemudian saya nikmati makanan yang saya bawa. Kawan saya sudah beri amaran awal bahawa makanan di sini mahal. Maka, saya sediakan bekal. Pisang, roti, snek dan air masak. Ringkas. Kemudian masuk ke masjid dan i'tikaf.

1.20pm: Azan Zohor berkumandang dan kami solat. Saya tak boleh i'tikaf lagi kerana masjid akan ditutup. Saya memilih untuk tunggu dalam feri. Tiada orang dalam feri namun saya dibenarkan masuk. Kali ini saya pilih untuk berada di tingkat paling atas di bahagian belakang.

Kelihatan anak muda dan kanak-kanak berenang. Sekali-sekala mereka panjat naik ke atas feri dan melompat kembali ke dalam air. Setelah penat mereka berehat di jeti. Ralit saya lihat mereka.

Sekawanan camar mengerumuni kawasan restoren yang hampir dengan air dan berebut makanan dengan ikan. Pengunjung memang asyik mencampakkan makanan dan melihat mereka berebut. Subhanallah!

2.33pm: Saya terima panggilan dari Mesir. Beberapa kali. Penting agaknya. Tapi, maaf. Saya tak boleh angkat!

3.00pm: Feri mula bergerak. Saya lebih bersedia untuk menangkap gambar kali ini. Tapi tewas juga di tengah jalan. Tertidur. Tapi tak lama. Setibanya di Eminonu, saya ke kedai yang berhampiran untuk mengalas perut dengan burger dan air oren. Alhamdulillah. Kemudian saya terus ke Kabatasy dan menunggu bas 43r di sana yang menuju ke Rumeli Hisarustu.

6.00pm: Saya tiba di rumah dengan selamat. Alhamdulillah. Saya perlu ke lapangan terbang hari ini. Maka saya kemaskan bilik dan beg. Saya ingin tinggalkan bilik ini dalam keadaan yang terbaik. Saya tertidur sekejap sebelum kawan saya tiba-tiba datang dan ketuk pintu bilik.

Kami berbual panjang dan rancang perjalanan malam ini. Dia memohon maaf kerana tak dapat temankan saya ke lapangan terbang kerana perlu bekerja esok. Saya tak kisah. Apa yang dia sediakan sepanjang tiga hari ini pun sudah lebih dari cukup.

8.30pm: Kami keluar makan setelah saya solat. Saya bawa beg saya sekali dan itu lebih memudahkan. Kali ini kami ke restoren yang berbeza dari yang biasa kami pergi. Dia pilih roti yang dipenuhi dengan keju. Saya pilih roti nipis yang dilapisi ramuan daging dan rempah -- macam piza, tapi nipis. Alhamdulillah, pilihan yang baik. Kami sama-sama tak mampu nak habiskan makanan kami. Semuanya dibungkus untuk dibawa pulang. Saya boleh buat bekal di lapangan terbang nanti.

Kami menaiki bas 59r menuju ke Taksim. Di Taksim kami bergegas ke hentian bas ekspres. Kami menunggu beberapa ketika dan kami berpisah di sana.

Tak ramai penumpang yang menaiki bas malam ini. Saya pastikan bahawa destinasi saya ialah Terminal Antarabangsa.

11.00pm: Saya tiba di Terminal Antarabangsa Lapangan Terbang Atartuk. Saya ke ruang berlepas dan dapati kaunter penerbangan saya belum dibuka. Esok, jam 5.00 pagi baru dibuka.

Saya pilih satu sudut untuk saya tidur. Belajar dari pengalaman, saya lapik jaket sebelum tidur di atas kerusi besi. Alhamdulillah, saya tidur dengan nyenyak.

Ulasan

  1. salam ramadhan buat Rdhanz...

    moga ramadhan kali ini memberi cahaya baru dalam perjuangan saudara...

    :-)

    BalasPadam
  2. @Sifu Mirza: Terima kasih. Begitu juga untuk tuan. Ramadhan yang sama, natijah yang berbeza. InsyaAllah.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Hari yang memenatkan

Memudahkan yang rumit