Perjalanan ke Mafraq

10 Ogos 2009

5.50pm: Setelah hampir sejam menunggu, bas akhirnya penuh. Saya menghela nafas lega. Bas mula bergerak dan perlahan-lahan meninggalkan Mu'tah menuju ke Amman -- ibu negeri Jordan. Tak banyak yang boleh saya catatkan kerana hari semakin gelap dan saya pun sudah letih.

7.45pm: Bas berhenti di Mujamma' Janub, Amman. Saya perlu ke Ghardan jika ingin ke Mafraq. Ada sebuah kereta tanpa label menawarkan khidmatnya ke Ghardan. Saya ragu-ragu, namun tiada pilihan lain. Pada hemat saya, jika di Malaysia kereta ini dipanggil prebet sapu. Atau kereta sewa tanpa lesen.

Bergelegak hati saya mendengar pemandu dan kawannya mencarut. Entah apa seronok mencarut saya pun tak pasti. Gaya pemanduannya pun agak lintang pukang. Saya yang duduk di belakang menahan sabar.

Tiba di Ghardan saya perlu segera cari bas ke Mafraq. Tiada bas. Hanya kereta seperti tadi. Namun pemandunya kelihatan lebih mesra dan baik. Saya katakan padanya bahawa saya belum solat. Dia mengangguk dan saya cari tempat untuk solat. Mujur Arab memang tradisinya solat di mana-mana. Ada sebuah kedai makan yang ada tempat wudhu' dan sejadah. Saya solat di situ sendirian.

Tiba-tiba saya dicuit untuk menjadi imam. Selesai solat, lelaki itu bertanya pada saya andai saya tahu mana-mana gadis Malaysia yang ingin berkahwin dengannya. Kepada yang berminat, sila hubungi saya. Saya masih simpan kad bisnesnya. Hehe.

Saya kembali ke tempat kereta tadi. Kereta tadi sudah tiada!

Ke hulu ke hilir saya mencari penyelesaian. Hinggalah saya disapa seseorang dari belakang. Rupa-rupanya pemandu kereta tadi mengalihkan keretanya dan kini siap untuk bertolak. Tidak terus ke Mafraq, tetapi ke Zarqa dahulu. Hanya saya akan ke Mafraq. Tiga penumpang lain ingin ke Zarqa.


8.30pm: Kami bertolak ke Zarqa. Setengah jam selepas itu kami tiba di destinasi. Tiga penumpang tadi turun. Pemandu mengisyaratkan supaya saya tunggu kerana dia ingin cari penumpang ke Mafraq. Kebetulan malam itu ramai polis di stesen. Ternyata sangkaan saya sebelum ini tak salah. Kereta ini dan kereta di Amman tadi adalah prebet sapu.

Saya merayau-rayau kawasan sekitar. Tiba-tiba berlaku kekecohan yang akhirnya melibatkan polis. Saya tak pasti kekecohan apa. Saya cuba untuk tidak hiraukan apa yang berlaku. Nanti tak pasal-pasal jadi saksi kejadian, terlewat pula ke Mafraq.

Saya masih menunggu dengan setia. Tapi mata sudah mengantuk. Quran dan novel ada dalam but kereta. Menunggu seperti ini sangat mensia-siakan waktu.


10.15pm: Akhirnya ada tiga penumpang lain yang ingin ke Mafraq. Alhamdulillah. Kereta meluncur laju. Dari Mu'tah ke Karak saya bayar tambang sebanyak JD1.75 (RM8.75). Dari Karak ke Amman JD2 (RM10). Dari Mujamma' Janub ke Ghardan JD2 (RM10). Kemudian dari Ghardan ke Mafraq JD3 (RM15).


11.00pm: Setibanya di Mafraq, pemandu turunkan penumpang lain kecuali saya. Dia tanyakan kepada saya dimanakah tempat saya ingin turun. Saya cepat-cepat hubungi Tarmizi. Dia berikan nama-nama tempat sekitar rumahnya. Namun masih agak mengelirukan. Maka pemandu kereta tadi pinjamkan saya telefon bimbitnya untuk saya hubungi Tarmizi. Rupanya kami sudah dekat. Tarmizi tunggu saya di bahagian bawah bangunan. Alhamdulillah.

Dia agak terkejut dengan kesudian pemandu untuk turunkan saya di depan rumah. Saya terus mengikut Tarmizi melangkah tangga naik ke rumahnya. Saya masih segar kerana sudah tidur dalam kereta. Tarmizi sedang mengulang kaji pelajaran kerana tengah hari esok dia ada peperiksaan. Kami berbual agak lama dan berkenalan dengan kawan-kawannya sebelum saya tertidur.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Hari yang memenatkan

Memudahkan yang rumit