Perjalanan yang memenatkan

13 Ogos 2009

Banyak yang saya bualkan dengan Husin, seorang guru agama berbangsa Turki. Bahasa Arab menjadi perantaraan kami. Kami dihidangkan dengan teh beberapa kali dan TV di hadapan menayangkan filem Forbidden Kingdom lakonan Jackie Chan dan Jet Li. Pilihan yang menarik, tapi saya tak berminat untuk menontonnya. Apatah lagi bila suaranya sudah dialih bahasa ke Bahasa Turki. Jackie Chan cakap Turki. Lucu. Tapi belum cukup lucu jika dibandingkan Amitha Bachan cakap Indonesia sebagaimana yang saya tonton di rumah mak saudara saya di Johor.

2.15pm: Bas berhenti lagi untuk kali yang seterusnya. Saya mencari surau untuk solat. Saya bertanya kepada orang di sekeliling dan terlihat papan tanda mescit (masjid). Selesai solat, saya beli susu. Kami teruskan perjalanan.

Kali ini kami dihidangkan dengan sebuah filem komedi Turki. Husin pada awalnya memberitahu saya bahawa filem ini adalah filem komedi yang menggunakan bahasa yang kesat. Tapi akhirnya dia kelihatan menikmatinya dan menceritakan kepada saya adegan-adegan yang sangat lucu.

Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang berbadan besar dan tidak terurus diarahkan oleh ibunya untuk mencari kerja. Maka bermulalah episod dia mencari kerja; hantar piza, pembantu di farmasi, jaga kaunter di pasar raya, pramugara kapal terbang, namun semuanya berakhir dengan teruk. Dia dipecat.

Ibunya memberi cadangan supaya dia pergi ke syarikat sepupunya untuk meminta kerja. Maka, dia pun ke syarikat tersebut dengan perangai yang teruk namun tetap diterima kerja sebab dia dan sepupunya berkongsi datuk yang sama.

Sekarang dia sudah punya kerja. Ibunya suruh dia kahwin. Maka, bermula la episod mencari jodoh melalui Internet. Semuanya gagal.

Entah macam mana, dia berjaya meyakinkan pelabur Jepun untuk menandatangani kontrak dengan syarikatnya. Wajahnya terpapar di majalah-majalah usahawan.

Tiba-tiba ibunya sakit dan filem ini berakhir dengan kematian ibunya.

Agak tragik apabila filem komedi diakhiri dengan kematian.

6.00pm: Berhenti di Aksaray. Saya makan bekal yang saya bawa dari Syria. Untuk menambahkan selera, saya beli makanan ringan dan makan bersama roti. Sedap.


6.30pm: Perjalanan diteruskan. Kami tak banyak bercakap kerana masing-masing sudah letih. Saya menikmati pemandangan. Sememangnya Turki adalah negara yang besar. Saya dikelilingin horizon atau kaki langit. Mata boleh melihat sejauh mana yang ia mahu tanpa dihalang bangunan-bangunan. Sejuk mata memandang.


7.35pm: Pemandangan matahari terbenam di tasik garam sangat menakjubkan. Subhanallah!

9.00pm: Bas berhenti lagi dan saya solat.

Perjalanan diteruskan lagi. Saya sudah terlalu letih...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Hari yang memenatkan

Memudahkan yang rumit