Sejarah penerbitan
Saya berasa bidang penerbitan sangat dekat dengan jiwa saya. Sejenak saya terkenangkan cerita-cerita lama yang sentiasa membuat saya tersenyum sendiri.
Ketika saya darjah dua, sekitar tahun 1994, saya berkenalan dengan Amar Syahid bin Salehuddin, seorang kawan yang sangat berbakat dalam melukis. Lukisannya ada gaya tersendiri. Dalam masa yang sama, saya juga minat melukis. Tetapi, dia lebih mahir melukis kartun manusia penuh, sedang saya lebih mahir melukis muka sahaja. Hasilnya? Kami menerbitkan kartun 10 muka yang difotostat pada kertas lima keping A4 yang dilipat dua dan dijual pada harga RM1. Ya, keuntungan sifar. Kulitnya ditulis dengan judul 'Canggih 2020' dengan begitu comot sekali. Kartun berkisar orang-orang gila yang boleh bergabung menjadi robot.
Saya berjaya menjual senaskhah (kerana yang satu itu dibaca beramai-ramai), sedang Amar berjaya menjual beberapa secara hutang (dan bayaran tidak diterima hingga kini).
Akhirnya Amar terpaksa berpindah ke taman lain. Itu tidak menghalang saya dari terus melepak di rumahnya. Di sana, kami membina rumah kelab dengan menggunakan bahan yang ada di sekeliling. Kami menamakan diri kami sebagai Naga Merah dan Naga Hijau. Berjaya mengumpul beberapa ahli yang kurang setia, kerana kami ada saingan yang dinamakan kumpulan Kucing Hitam. Dengan gabungan ini, saya berjaya terbitkan satu edisi buletin dan bercadang untuk buka langganan. Tetapi tidak berjaya sebab saya meletakkan alamat rumah saya dengan nama Studio B. Surat tak sampai. Mungkin posmen keliru, ada studio ke di Kampung Padang Air?
Amar akhirnya berpindah ke Perak. Kami terpisah terus hingga hari ini. Saya akhirnya melangkah ke dunia yang lebih realistik. Tiada lagi naga pada nama. Tapi masih meneruskan amalan melukis kartun ketika cikgu mengajar. Satu perkara yang tak dapat saya lakukan di sini, kerana tiada privasi di dalam bilik kuliah. Kalau Arab tengok, mesti berkerumun. Tak endah pensyarah yang sedang mengajar.
Akhir tingkatan dua, saya dihantar bersama teman yang lain untuk mengikuti kursus membina laman web di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besar, Kuala Terengganu. Ia menjawab persoalan yang bermain di fikiran saya, apakah kegunaan Microsoft FrontPage? Kursus ini membuka minda saya tentang apa itu Internet dan laman web. Terlintas di fikiran untuk membuat buku panduan sendiri. Kami diwajibkan untuk membuat laman web peribadi (sekarang dah hilang dah).
Keseinambungan dari kursus itu, saya mula membuka majalah sekolah (An-Nur) dan mengolahnya menjadi laman web. Ia memakan masa, tetapi dilakukan penuh seronok. Akhirnya saya terpilih bersama-sama kawan-kawan lain untuk menyertai pertandingan membina laman web untuk mewakili sekolah ketika saya di tingkatan tiga. Ada cerita yang menarik tentang pertandingan ini. Ketika ini saya menggunakan Flash untuk mencantikkan laman web kami.
Juri tidak dapat mengakses laman web yang kami bina hinggalah pada saat akhir. Ketika itu, juri sudah ada senarai pemenang. Oleh kerana kecanggihan laman web yang kami bina, sepatutnya kami berhak memenangi tempat pertama. Tetapi, disebabkan masalah teknikal tersebut, juri membuat keputusan untuk memberikan tempat ketiga kepada kami. Demikian yang diceritakan guru penasihat kami, Teacher Roshidah. Web itu sudah hilang tetapi kini, adik-adik sudah semakin canggih dan terkedepan dalam bidang ini.
2002, saya berpindah ke Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA). Suasana di sini berbeza. Dan saya terjumpa satu kelainan di sini berbanding sekolah lama. Saya diminta tolong oleh senior untuk membuat rekabentuk majalah Badan Agama Islam (BADAI). Ya, persatuan di sini buat majalah. Saya juga ada membuat laman web rasmi badan ini.
Saya mula menemui minat saya di dalam bidang ini. Untuk tahun seterusnya saya mengambil tugas ini secara penuh dan berjaya menerbitkan dua majalah pada tahun tersebut. Semangat saya semakin membuak-buak, tahun seterusnya, saya merangka dengan baik dari awal dan berjaya menerbitkan tiga majalah pada tahun itu. Fokus siri-siri majalah tersebut ialah:
Siri 1: Azam@Angan Baru?
Siri 2: Cinta: Fitrah@Fitnah?
Siri 3: Tawakkal@Tawakkul?
Dengan bantuan rakan-rakan yang lain, majalah ini berjaya disebarkan ke luar sekolah. Ia berjaya dari sudut penerbitan. Tetapi tidak dari sudut pemasaran.
Setibanya saya di Mesir, bagaikan telah menunggu tugas yang berkaitan dengan penerbitan untuk saya di sini. Kami bermula dengan Buletin Al-Iman, risalah-risalah dan yang paling berat, Suara Kampus Edisi Terengganu (SUTRA). Saya perlu belajar lebih mendalam tentang kerja berkumpulan dan kerjasama. Namun, ia tetap berjaya diterbitkan.
Kemudian, diteruskan lagi dengan pembikinan buku koleksi Tokoh-Tokoh Islam. Ia terhenti setengah jalan tetapi disambung adik-adik yang ditaklifkan tugas untuk menyiapkannya.
Serentak dengan itu, saya bertemu dengan dunia blog. Ia agak mengejutkan saya kerana hari ini seolah-olah semua orang mampu untuk memiliki laman web sendiri. Laman web adalah sesuatu yang sangat teknikal untuk dibina dan dikemaskini. Tetapi, sistem pengurusan kandungan (CMS) seperti blog telah membuatkan segalanya menjadi mudah, sehinggakan saya kini sudah hilang minat untuk meneliti kod-kod HTML sebagaimana dahulu.
Saya harap Amar Syahid boleh hubungi saya jika dia ada membaca tulisan ini. Saya nak tanya, adakah dia masih ingat siapakah Naga Merah dan siapakah Naga Hijau? Dan siapa pula ahli-ahli kumpulan Kucing Hitam? Apa yang sudah dia lakukan dengan bakat melukisnya?
Dan saya akan cuba salurkan minat saya ke arah yang lebih bermanfaat.
wah..sgt berliku dan menarik perjalanan sahabat sekolah saya ni.. buat diri ni begitu kerdil sekali dlm dunia IT..hehe..
BalasPadamNaga Merah,naga Hijau.. if dpt jumpa Amar Syahid, boleh la buat satu lagi kompilasi baru..if dragon ball ada dragon ball Z yg lg berwarna and lagi mahal, kalian boleh lakukan yg lg baik!buat satu kompilasi kartun2 yg mcm2 jenis..mane tau, kreko boleh tumpas..
bagus2 post ni..veryyyyyy inspiring..
and klaka gak..huhu..
ooooo........jejak kasih..best pengalaman mengajar erti persahabatn..
BalasPadamSementara jumpa Amar, saya kena praktis melukis dulu la... Lama sangat dah tak melukis...
BalasPadamI missed sementojie!!Jika ada peluang utk bkhidmat di sana...
BalasPadamI miss my friends. I miss my teachers.
BalasPadam