Cerita tentang duit Mesir


Duit Mesir, originally uploaded by rdhanz.

Apabila berada di negara orang, satu perkara yang tidak terlepas dari pengetahuan kita ialah tentang matawang negara tersebut. Sudah tentu, kerana ia digunakan setiap hari. Sejak berada di sini, mata saya lebih terbuka untuk meneliti dan memerhati nilai tukaran yang asing. Sesuatu yang tak pernah saya lakukan di Malaysia.

Hari ini, nilai RM1 bersamaan LE1.54. Pernah suatu masa dahulu ia stabil pada kedudukan RM1 = LE1.67. Tapi, saya lebih mudah menggunakan sifir RM1 = LE1.50. Mudah untuk mengira.

Matawang Mesir menggunakan nama Pound dan Piaster. Pound untuk Ringgit dan Piaster untuk Sen. Itu nama Inggerisnya. Manakala nama Arabnya ialah Junaih dan Qirsy, atau Genih dan Irsy (mengikut loghat tempatan).

Antara not-not wang kertas yang pernah saya lihat: LE200, LE100, LE50, LE20, LE10, LE5, LE1, LE0.50 dan LE0.25. Penggunaan wang kertas lebih meluas berbanding syiling. Oleh itu, tidak hairanlah jika setiap urusan pembelian akan digenapkan nilai sennya (baca: qirsynya) kepada LE0.25, LE0.50, LE0.75 atau LE1. Contohnya bayaran fotostat untuk satu muka sebenarnya ialah LE0.10. Tapi, tetap perlu dibayar LE0.25. Begitulah adanya.

Syiling yang pernah saya pegang: LE1, LE0.50, LE0.25, LE0.10 dan LE0.05. Namun, dalam banyak-banyak duit Mesir, ada dua jenis duit yang sering memeningkan kepala.

Pertama: Duit kecil atau panggilan manjanya fakkah.
Sering menjadi kesukaran untuk berurusan di Mesir apabila tiada fakkah. Baik dalam bas, di kedai, mahupun menaiki teksi. Bahkan anda akan diarah supaya mencari fakkah oleh tuan kedai yang tidak mesra pelanggan. Antara sumber terbaik untuk fakkah ialah di Cyber Cafe dan ketika menaiki bas. Bawalah not LE50 atau LE20 ketika berurusan dengan mereka. Ketika di dalam bas, konduktor akan membuat pengumuman untuk memberi fakkah kepada sesiapa yang berminat.

Kedua: Duit buruk. Sangat menjengkelkan bila menerimanya dan sangat waspada bila menggunakannya. Selalunya terjadi apabila kita sedang sibuk dan tidak ada masa untuk memerhatikan satu per satu not yang dipulangkan oleh penjual atau konduktor bas. Akibatnya, bila not dikeluarkan maka terzahirlah sama ada kesan koyakkan atau pita pelekat yang bersinar-sinar menutup luka pada not tersebut. Maka, pada waktu itu tiada yang lebih melapangkan dada selain memukul dahi sendiri atas kecuaian diri. Bila menggunakannya pula, pelbagai cara akan dicuba supaya peniaga tidak perasa akan keadaan sebenar not tersebut. Darah akan mendidih jika peniaga mempersoalkan keadaan not tersebut. Yalah, siapa nak duit buruk?

Sekiranya anda tanpa sengaja terambil duit buruk, seeloknya rawatlah duit tersebut dengan menggunakan seminima mungkin pita pelekat pada salah satu permukaan duit.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Hari yang memenatkan

Memudahkan yang rumit