Mempersaudarakan antara Muslimin
Kutaib ini antara kutaib siri Hatta Yughayyiru ma bi Anfusihim (Sehingga Mereka Sendiri yang Mengubahnya) tulisan Ustaz Amru Khalid, seorang pendakwah yang terkenal bukan sahaja di Mesir, bahkan di seluruh dunia Arab.
Kutaib bersaiz poket ini disusun tanpa pembahagian bab dalam 32 muka suratnya. Ia berkisar tentang perbandingan sikap kasih sayang dan persaudaraan sesama muslim di zaman sekarang dengan zaman Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dan para sahabat Baginda Radhiallahu anhum.
Saya membelinya atas cadangan senior yang kebetulan pada waktu itu Pameran Buku Antarabangsa Kaherah sedang berlangsung. Saya mengambil peluang tersebut untuk membeli 13 kutaib dalam siri ini. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada saya untuk menghabiskan kesemuanya. Amin.
Petikan menarik dalam kutaib ini: "Pada suatu hari, Umar Radiallahu anhu memberikan 1000 dirham kepada khadamnya dan mengarahkannya supaya pergi kepada Abi Ubaidah bin Al-Jarrah Radhiallahu anhu dan memberikan dirham tersebut kepadanya, dan memberitahunya bahawa dirham tersebut adalah miliknya dan terpulang bagaimana dia mahu membelanjakannya. Dan dia (Umar) berpesan kepada khadamnya supaya melihat apa yang akan dibuat (Abu Ubaidah) dengannya?!
Maka pergilah khadam tersebut menemui Abu Ubaidah Radhiallahu anhu dan melakukan apa yang diarahkan kepadanya. Maka Abu Ubaidah membahagi-bahagikan dirham-dirham itu kesemuanya kepada orang fakir dan orang miskin sehingga habis. Kemudian pulanglah khadam tersebut kepada Umar bin Al-Khattab Radhiallahu anhu dan mengkhabarkan bahawa Abu Ubaidah Radiallahu anhu telah membelanjakan kesemua dirham tersebut pada jalan Allah Azza wa Jalla. Kemudian Umar Radiallahu anhu memberikan khadam tersebut 1000 dirham yang lain dan berpesan supaya pergi dengannya kepada Muaz bin Jabal Radiallahu anhu, dan melaksanakan apa yang telah dia lakukan pada Abi Ubaidah Radiallahu anhu. Maka khadam tersebut pulang dan mengkhabarkan bahawa Muaz radhiallahu anhu telah buat sama seperti yang dilakukan Abu Ubaidah Radhiallahu anhu.
Kemudian diberikan kepada khadam itu 1000 dirham yang ketiga dan dipesankan kepadanya supaya pergi dengannya kepada Saad bin Abi Waqas Radhiallahu anhu dan buat sama seperti yang telah dia lakukan pada Abi Ubaidah dan Muaz -- Radhiallahu anhuma. Maka khadam itu pulang dan mengkhabarkan bahawa Saad Radhiallahu anhu juga buat seperti yang dibuat Abu Ubaidah dan Muaz -- Radhiallahu anhuma. Maka tersangat-sangatlah gembira Umar bin Al-Khattab Radhiallahu anhu seraya berkata, "Alhamdulillah, sesungguhnya mereka adalah saudara antara satu sama lain."
* Maaf, saya tidak mahir menterjemah petikan berbahasa Arab ke bahasa Melayu.
Ulasan
Catat Ulasan