Seni Bercakap-cakap dan Berbual-bual
Seni Bercakap-cakap dan Berbual-bual
Originally uploaded by rdhanz
Kali pertama melihat buku ini di rak sebuah kedai buku, saya terus tertarik. Pertama, kerana rekabentuk kulitnya yang segar. Kedua, kerana judulnya yang menarik. Tak sangka bercakap-cakap dan berbual-bual juga adalah satu seni!
Menghabiskan buku ini adalah menyeksakan. Saya kategorikan buku ini sebagai buku yang berat untuk dihadam. Sungguhpun begitu, saya tetap cuba menghabiskannya juga. Ke hulu, ke hilir saya galas buku ini, dengan harapan akan bertemu waktu luang untuk menghabiskannya.
Dua minggu selepas itu, tibalah saya ke bahagian Bacaan Tambahan. Menandakan ia sudah berakhir. Antara bab yang panjang diulas dalam buku ini ialah Berdusta. Bermula dengan tanda-tanda seseorang itu berdusta, tips-tips mengesan dusta, jenis-jenis dusta hinggalah sebab-sebab seseorang itu berdusta. Semuanya diterangkan secara terperinci di dalam buku ini.
Buku ini juga banyak menyentuh tentang perbezaan antara lelaki dan perempuan. Juga tips-tips komunikasi antara pasangan suami-isteri. Bahkan, kadang-kadang terdetik di hati saya, ada baiknya jika buku ini diberi judul Tips Komunikasi Antara Suami dan Isteri, atau yang seumpama dengannya.
Secara keseluruhannya, saya sangat berpuas hati dengan buku ini. Kemungkinan besar saya akan ulang baca buku ini untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Buat Prof. Abdullah Hassan dan Puan Ainon Mohd, terima kasih atas ilmu yang tuan dan puan kongsikan.
Jazakumullahu khairan kathiran.
Ulasan
Catat Ulasan