Twit twit...
Masih lagi tentang perkongsian maklumat. Bagaimana jika anda tidak begitu minat menulis, tetapi tetap juga ingin berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan anda? Bagaimana jika anda tidak mempunyai akses Internet di rumah, tetapi tetap ingin memberi maklumat yang terkini tentang diri anda dua kali sehari?
Di sini saya ingin memperkenalkan teknologi baru yang sering disebut-sebut di dalam blog-blog. Twitter. Bahkan Barrack Obama sendiri turut sama menggunakan Twitter untuk memancing undi rakyat Amerika. Cuma, akaunnya tidak lagi dikemaskini setelah kemenangannya dalam pilihanraya baru-baru ini.
Twitter memberi anda ruang sebanyak 140 huruf untuk diisi pada satu-satu masa. Sama seperti SMS. Dan maklumat-maklumat yang anda isi akan disusun dan dipaparkan pada laman seperti ini: http://twitter.com/rdhanz.
Ia bermula dengan soalan "What are you doing?" Mungkin anda terfikir, siapa yang ingin mengetahui apa yang sedang saya buat sekarang? Sudah tentu ada! Sebagai contoh, rakan-rakan satu sekolah dengan anda, adik atau abang anda yang berada di tempat belajar mereka dan mungkin rakan sebilik anda yang kebetulan berada di tempat lain. Ia juga boleh digunakan sebagai tempat untuk menyimpan rekod ringkas tentang aktiviti seharian anda. Tapi, anda harus ingat bahawa ia adalah tontonan umum.
Twitter adalah alternatif kepada blog bagi mereka-mereka yang tidak gemar menulis panjang-panjang. Bagi pemilik-pemilik blog pula, anda boleh memasang widget Twitter pada blog anda dan apa yang anda tulis di Twitter akan turut tersiar dalam blog anda. Ini menambahkan lagi hubungan erat anda dengan pembaca.
Sebenarnya, fungsi-fungsi ini belum mampu menarik minat saya untuk mendaftar. Fungsi seterusnya membuatkan saya terus ingin mencuba. Anda boleh menghubungkan telefon bimbit anda dengan Twitter. Dengan aktifkan telefon bimbit anda dengan Twitter, anda boleh menghantar SMS ke akaun Twitter anda dan apa yang anda tulis akan terpapar pada laman Twitter anda.
Oleh kerana saya tiada akses Internet di rumah saya di Terengganu, maka saya tercari-cari bagaimanakah caranya untuk terus mengemaskini blog saya. Dengan Twitter, saya boleh berkongsi dengan kawan-kawan saya tentang apa yang saya lakukan di Malaysia pada waktu kejadian itu berlaku. Tidak perlu pergi ke kafe siber untuk kemaskini blog. Dan caj yang dikenakan sama seperti kita menghantar SMS ke luar negara. RM0.20 untuk Maxis, RM0.50 untuk Celcom dan LE0.50 untuk Vodafone.
Untuk apa saya promosikan Twitter ini? Adakah saya mendapat sebarang komisen? Oh, tidak. Saya cuma ingin lebih ramai kawan-kawan saya yang mempunyai akaun Twitter dan kita boleh saling berbalas mesej melaluinya. Dan boleh saling follow-memfollow antara satu sama lain... :-)
* Ada wartawan yang dibebaskan polis setelah dipenjara dan dia menghantar mesej ke akaun Twitternya, "Arrested." Rakan-rakannya yang mengikuti perkembangannya terus menghubungi kedutaan negaranya dan mengusahakan pembebasannya. Kebetulan peristiwa ini berlaku di Mesir, ketika krisis kenaikan harga makanan baru-baru ini.
Ulasan
Catat Ulasan