Technology Mall, heatsink dan teksi


Heatsink baru, originally uploaded by rdhanz.

Keinginan dan kemahuan membuatkan hidup lebih menyeronokkan. Kerap kali untuk melayan keinginan ini saya berbincang dengan kawan-kawan akan barang-barang idaman seolah-olah akan memilikinya sekarang juga. Malah menyusuli perbualan kami adalah lawatan ke tempat-tempat di mana barang-barang tersebut dibekalkan.

Tapi, itu cara saya untuk menambahkan seri dalam hari-hari saya. Tak beli kalau tak mampu. Hanya bercakap seolah-olah mampu dan melihat dari dekat, tetapi tidak memilikinya secara langsung.

Kerana saya tahu, keseronokkan mengimpikan sesuatu berbeza dengan keseronokkan memiliki sesuatu. Dalam bermimpi, segalanya sempurna. Tetapi dalam memiliki, ada kemungkinan apa yang dimiliki tidak seindah dan sehebat yang diimpi. Beerti, ia lebih terdedah kepada kekecewaan.

Kecewa perkara yang besar itu boleh menambahkan azam untuk lebih berusaha. Namun, kecewa pada benda-benda yang remeh temeh tentunya perbuatan yang tiada gunanya.

Saya begitu teruja pergi ke Technology Mall sekali lagi petang ini seusai solat Asar di Rumah Terengganu. dengan menaiki teksi dengan bayaran LE3.00, saya tiba di hadapan pusat membeli-belah tersebut dan memulakan pencarian dari tingkat atas.

Fokus utama saya ialah heatsink untuk CPU. Pada mulanya, sangat sukar untuk mencari heatsink untuk CPU AMD. Dalam hati, saya bermonolog, "Apakah CPU AMD terlalu bagus sehingga tidak perlu kepada heatsink yang lain selain yang asal? Atau tidak ramai yang menggunakan CPU AMD di sini?"

Soalan pertama lebih relevan berbanding soalan kedua, kerana banyak terjual CPU AMD di sini, menandakan penggunanya tentu juga ramai.

Hampir-hampir saja saya membeli heatsink untuk AMD yang hampir sama dengan yang standard. Harganya dalam lingkungan LE40 - LE45. Tapi, kalau setakat prestasinya sama dengan yang asal, apa guna saya tukar sedangkan heatsink asal ini masih lagi berfungsi dengan baik? Cuma thermal pastenya sahaja yang sudah kering. Mungkin perlu diganti dengan yang baru. Saya menangguhkan pembelian saya.

Akhirnya, saya tiba di kedai yang dijaga oleh seorang perempuan. Saya bertanya dan dia menjawab dengan nada separa mesra. Katanya, heatsink yang dia jual besar dan harganya mahal. Bila dengar perkataan BESAR, saya terus tertarik dan menggesa dia supaya menunjukkannya. Sedang dia tampak tidak begitu bersungguh untuk menjualnya.

Harganya LE75. Saya tidak teragak-agak untuk memilikinya. Selesai membayar harga heatsink, saya bergegas ke tingkat atas untuk membeli power supply yang berkuasa 750W dengan harga LE60. Ya, LE25 lebih rendah dari apa yang dia beritahu semalam.

Untuk pulang, saya menahan teksi. Kali ini pemandunga adalah seorang lelaki berusia lingkungan 50-an, berjanggut panjang tanpa misai. Perkataannya lembut, sopan dan tersusun. Setibanya di destinasi, dia memberitahu saya bahawa khidmatnya adalah percuma. Saya beria-ia keluarkan LE3.00 dari poket tetapi dia tetap tidak ingin menerimanya.

Tentu saja hati saya berbunga-bunga dengan sikap pemandu teksi itu tadi. Saya tidak tahu apa yang menggrakkan hatinya untuk berlaku demikian. Sama ada kerana sama menanyakan namanya, kerana saya belajar di Al-Azhar atau kerana saya berlaku sopan terhadapnya. Tetapi, inilah keindahan Mesir. Padanya terdapat pelbagai kemungkinan yang tidak pernah kita fikirkan.

Sengaja saya nukilkan kisah ini kerana biasanya orang lebih suka bercerita tentang keburukan tetapi sengaja menyembunyikan kebaikan. Saya cuba untuk mengatasi kebiasaan itu.

Alhamdulillah, setakat ini, heatsink baru masih berfungsi dengan baik. Cuma kad grafik masih lagi menunjukkan suhunya yang tinggi. Komputer ini perlu diuji sebelum diyakini benar-benar dalam keadaan yang baik dan lasak.

Ulasan

  1. adakah kenderaan juga salah satu alat komunikasi?

    BalasPadam
  2. Pada saya, kenderaan termasuk dalam kategori pengangkutan. Alat komunikasi lebih tertumpu pada perpindahan maklumat.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Hari yang memenatkan

Memudahkan yang rumit