Jumaat, hari untuk bertelefon lagi

cell phone evolution - from nokia brick to son...Image by sean dreilinger via Flickr

Ikutkan hati memang saya ingin benamkan cerita-cerita sedih yang berlaku beberapa hari ini. Bukan untuk menafikannya tetapi untuk tidak menzahirkannya. Bukan juga buat-buat sedih. Tak elok dilayan perasaan yang bergolak kerana ia akan membawa kecelaruan aturan hidup.

Pagi ini saya rasa bagaikan sudah tiada harapan untuk kekalkan Rumah Sewa 700. Saya ingin masih tinggal di sini. Paling tidak untuk setahun sahaja lagi. Atau untuk enam bulan sebelum masing-masing menentukan haluan.

Tapi setelah berbincang serba sedikit, nampaknya ada harapan yang tipis untuk kekal di sini. Banyak bergantung kepada harga baru yang ditawarkan tuan rumah. Jika bertiga memang tak larat untuk menanggung. Sebab utamanya, sumber kewangan kami berada di poket-poket orang lain. Sendiri belum berupaya untuk mencari. Ada usaha tapi belum berjaya.

Jumaat, hari untuk bertelefon

Sebagaimana biasa, Jumaat adalah hari untuk bertelefon. Masih lagi berkisar pemergian Tok yang dikasihi. Secara jujur, saya di sini lebih berasa terkejut berbanding sedih. Saya hanya mendengar berita, tidak melihat sendiri. Bila berbual dengan K.wa dan K.nor baru terasa hiba. Sebak.

Kisah Tok dan Tokwe

Tentu yang paling hebat terpukul adalah Tokwe. 60 tahun lebih hidup bersama mengharungi suka duka hidup, secara tiba-tiba dijemput Allah ke alam yang satu lagi. Mereka memulakan kehidupan sebagai pasangan yang miskin. Tinggal dalam rumah satu ruang. Di situlah dapur, tempat makan, tempat belajar dan tempat tidur. Sungguhpun buta huruf, Tokwe kejutkan anak-anaknya pada awal pagi dan menyalakan pelita minyak dan menunggu anak-anaknya membaca buku dan membuat ulangkaji.

Banyak kisah penghinaan orang sekitar yang akhirnya ditelan dengan kejayaan Mama sebagai anak perempuan kampung itu yang berjaya masuk ke universiti. Kemudian, seorang demi seorang melangkah ke alam pekerjaan yang secara kebetulan semuanya mengajar. Tiga pensyarah IPT dan dua guru di sekolah. Lahir dari pasangan yang buta huruf dan hidup susah.

Kebetulan Tok meninggal ketika cuti Raya Cina. Semua berhimpun. Hinggakan penuh setiap ruang di rumah yang terletak di Kg. Amer itu. Dia meninggalkan lima orang anak, 19 orang cucu dan sembilan orang cicit. Tanpa dia, tiadalah saya. Kata F, "Penerimaan makhluk di dunia menandakan penerimaan makhluk di langit. Penerimaan makhluk di langit menandakan penerimaan Jibril Alaihis Salam. Dan penerimaan Jibril menandakan penerimaan Allah Subhanahu wa Taala."

Perancangan Allah

Memang ada sedikit terkilan kerana tidak dapat menyertai sama keluarga ketika itu, tapi Allah telah mengaturkan kepada saya sebaik-baik peraturan dengan menetapkan bahawa saya sakit pada Mac 2008 dan terpaksa dibawa balik ke Malaysia. Saya berjumpa dengan Tok dan Tokwe yang ketika itu berada di rumah A.chik di Pulau Pinang. Kemudian, saya pulang sekali lagi pada akhir Jun 2008 dan saya kerap menziarahi mereka sebelum datang ke Mesir. Pasti jika tidak kerana sakit saya takkan terfikir untuk pulang. Itu percaturan yang terbaik yang tidak pernah saya fikirkan.

Tok sangat mengasihi K.wa yang diasuhnya sejak kecil. Bahkan kami memanggil K.wa sebagai anak bongsu Tok, bukan cucu. Cuma, K.wa baru saja selesai bersalin dan dia masih dalam keadaan pantang. Tidak berdaya untuk menziarah Tok ketika sakit diserang strok. Ia bukan sesuatu untuk dikesalkan. Ia ujian. Hanya sabar yang boleh saya nasihatkan.

Rumusan

K.nor mengulas panjang peristiwa ini dengan merumuskan, selagi ibubapa kita masih bernyawa, berkhidmatlah seupaya mungkin untuk mereka. Kerana bila tiba saat seperti ini, tiada guna lagi tangisan dan sesalan. Ia membuat saya muhasabah kembali akan kelakuan saya dengan Mama dan Baba. Juga terhadap adik beradik yang lain.

Terselit juga cerita pengorbanan Baba terhadap Mama. Baba begitu berusaha memberikan segala yang Mama minta dalam tempoh Tok sakit. Baba terlebih dahulu merasai kedukaan kehilangan ibubapa. Hingga dia mengalirkan air mata saat membaca talqin ketika hari pengebumian Tok. Saya masih ingat ketika kematian Tok Teh (emak Baba), kami berdua bersama-sama bermalam di sebelah kubur Tok Teh sambil membaca Al-Quran. Baba pesan, "Jangan sampai putus dari baca Al-Quran sampai esok pagi." Benarlah hadith yang membawa maksud bahawa segala amalan terputus di dunia melainkan salah satunya jika ada anak yang soleh. Hingga matipun masih berkhidmat seupaya mungkin.

Tokwe tak izinkan Mama balik. Takut tidur sendirian katanya. Hingga hari ini sudah empat hari Mama belum balik. Majlis tahlil dilakukan setiap Jumaat sepanjang tempoh 40 hari ini. Ini untuk memudahkan anak-anak pulang kerana ada yang berada di Johor, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu. Cucu-cucu juga ramai di Kelantan.

Saya rakamkan peristiwa ini di sini semoga ia mengingatkan saya ketika saya lupa dan dalam masa yang sama memberi pengajaran bagi mereka-mereka yang ingin mengambil pengajaran.

A.yed runsing kalau saya tak update blog satu hari. Maka, saya perlu kerap tulis blog supaya dia tidak runsing dan tahu apa yang saya buat setiap hari di sini.
Reblog this post [with Zemanta]

Ulasan

  1. salam tabah saudara...


    Satu kehidupan yang indah
    pasti,
    ada lembaran hari yang dilepaskan
    bersama dugaan
    yang kemudiannya menjadi kenangan

    dan naluri mendesah
    mahu mengimbau dalam senyuman
    menderai tawa
    hingga rindu bersimpuh
    di relung hati

    Satu kehidupan yang indah
    terkadang tiada yang enak
    untuk dijamah hati
    terkadang dihampari kejutan
    di sebalik pelangi

    -kingbinjai-


    al-fatihah wat arwahyarham tok

    BalasPadam
  2. Saya doakan Tuan Rumah masih baik hati tidak mahu menaikkan sewa, memang malang bagi students kalau sewa dinaikkan, tambahan lagi dikala semua harga2 makanan, pengangkutan etc jua naik...

    Sabar lah, sekiranya 'dipaksa' jua keluar dari rumah itu, pastinya banyak hikmahnya...

    BalasPadam
  3. Terima kasih SriSufi atas puisi yang indah.

    Naik tetap naik. Penyelesaiannya sekarang adalah naik sikit dan tambah ahli rumah.

    Hm...

    BalasPadam
  4. salam rdhanz,

    takziah..byk2 bersabar. klo ade masa n kelapangan, balikla msia utk jumpe mak ayah n sedara mara. sape tau, tu mungkin last time kite dapat jumpe diorang ~ be strong.

    BalasPadam
  5. Tak nak fikir soal 'kali terakhir berjumpa'. Tapi tetap terpaksa hadapi. Alang-alang dah setengah jalan di perantauan. Sekarang ini kena kerap telefon Malaysia. SMS. Baru tenang sikit pemikiran.

    Terima kasih atas doa.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman